KUCHING: Kerajaan Sarawak kini sedang berusaha melaksanakan program pemberian vaksin kepada seramai 289,200 individu berusia 12 hingga ke 17 tahun bersamaan 9.94 peratus daripada jumlah kumulatif penduduk di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan penyeliaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
“Justeru, kerajaan amat berharap supaya semua ibu bapa dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memudahkan dan melicinkan pelaksanaan program ini nanti,” katanya pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN), malam tadi.
Majlis sambutan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama-sama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib serta pemimpin Kabinet Negeri lain.
Menurut Abang Johari, setakat Isnin lalu program pemberian vaksin di Sarawak sudah mencapai sebanyak 91.0 peratus bersamaan 1,879,360 individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 daripada seramai 2,066,000 individu yang layak berusia 18 tahun ke atas.
Sementara itu, seramai 1,821,499 individu atau 88.2 peratus daripada individu berusia 18 tahun ke atas yang layak turut telah menerima dua dos vaksin di negeri ini.
“Meskipun kadar jangkitan tinggi khususnya di Zon Selatan, terdapat sedikit kelegaan kerana kebelakangan ini sebanyak 99 peratus jangkitan adalah pada tahap kategori satu dan kategori dua iaitu tiada bergejala atau bergejala ringan sahaja.
“Bagaimanapun, rakyat dinasihati supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar jumlah jangkitan harian dapat diturunkan secepat mungkin. Saya percaya dengan dua dos vaksin yang kita telah terima dan pematuhan kepada SOP kita akan lebih selamat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain Abang Johari berkata, Malaysia ditubuhkan mengikut konsep Persekutuan (federalism) malah kewujudan banyak negara di dunia ini juga diasaskan kepada konsep federalism dengan Kerajaan Pusat atau Kerajaan Persekutuan.
Ujarnya, sebagai contoh, Amerika Syarikat, German, Australia, Kanada, Belgium merupakan antara negara berkonsep federal yang mempunyai Kerajaan Pusat dengan pelbagai corak struktur politik dan pentadbiran di samping hak dan keistimewaan diberikan kepada negeri.
“Negara tersebut juga merupakan negara yang sudah maju. Oleh itu saya percaya konsep federalism bukan penghalang kepada kemajuan kerana pemimpin kita terdahulu turut bersetuju menubuhkan Malaysia dengan beberapa syarat dan keistimewaan untuk satu tujuan, iaitu membawa Sarawak ke era yang lebih cemerlang dari segi pembangunan sosio-ekonomi.
“Saya, seperti anak-anak Sarawak yang lain juga ingin melihat hak dan keistimewaan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 dihormati oleh Kerajaan Persekutuan dan dikuatkuasakan seperti yang sepatutnya,” katanya.
Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 17 bulan yang lalu kerana menunjukkan keprihatinan kepada impian rakyat Sarawak yang ingin menikmati hasil daripada negeri ini sendiri meskipun harus akur bahawa sebahagian perlu disumbangkan kepada pembangunan negara.
Abang Johari turut berharap supaya kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang baharu akan terus menghormati hak dan keistimewaan Sarawak dan terus prihatin terhadap keinginan rakyat Sarawak supaya mana-mana hak yang sudah terhakis dapat dikembalikan semula kepada negeri ini.
Oleh SYAMIMI HUSNA