KUALA LUMPUR: Penuntut bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diminta mengemaskini maklumat peribadi di portal ‘Taxpayer Access Point’ (TAP) untuk membolehkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempermudah proses pembayaran balik.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, memandangkan JKDM akan mula membuat pembayaran balik pada Isnin (22 Jun), pemohon perlu mengemaskini alamat, nombor untuk dihubungi dan nombor akaun bank dan maklumat lain yang relevan dengan serta merta.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Datuk Dr. Ir Andy Seo Kian Haw berkata, langkah pembayaran balik itu adalah tepat pada masanya, justeru, menggesa penerima agar ‘berhemat menyalurkan lebihan mudah tunai itu untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan perkhidmatan berdasarkan kecekapan dan produktiviti.’
Tambahnya, penerima juga perlu mengekalkan daya saing mereka dengan menggabungkan penggunaan lebih banyak teknologi digital ke dalam operasi dan proses untuk menyokong model perniagaan baharu yang menahan rantaian bekalan dan gangguan pasaran.
Pemudah ialah kerjasama sektor awam-swasta yang menangani isu-isu berkaitan perniagaan dan ekonomi dan memberikan cadangan kepada kerajaan bagi sasaran pembaharuan dan intervensi isu-isu.
MPC berperanan sebagai sekretariat inisiatif penambahbaikan Pemudah dan menyokong pelbagai inisiatif lain.
Dalam kenyataan bersama, MPC dan Pemudah menyambut baik pengumuman Kementerian Kewangan baru-baru ini untuk memastikan pembayaran balik GST yang tertangguh dapat dibuat dalam masa terdekat.