BINTULU: Di sebalik populariti roti sarang burung yang semakin mendapat perhatian pelanggan di Bintulu, tersimpan kisah ketabahan seorang peniaga yang terus mencari rezeki bersama suami meskipun sedang berdepan ujian kesihatan.
Pemilik Gerai Satay Wan di Medan Selera SEDC Bintulu, yang kini lebih dikenali sebagai ROY’Ti CHA’nai, Sharifah Izzattul Hasinah Wan Madihi, 37, tetap membantu menguruskan perniagaan bersama suaminya, Muhammad Noor Azroy Md Sharif, 34, mengikut kemampuan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
Menurut Sharifah, perniagaan itu mempunyai kaitan rapat dengan keluarganya apabila ia bermula daripada kafe yang diusahakan keluarganya sebelum diteruskan bersama suami di Bintulu, manakala nama Gerai Satay Wan pula diambil sempena nama bapanya.
Perniagaan berkenaan menawarkan pelbagai menu termasuk antara menu yang paling mendapat sambutan pelanggan iaitu roti sarang burung, roti canai inti daging kornet keju, nasi lemak pandan ayam dan soto ayam.
Namun, roti sarang burung yang berasal dari Melaka menjadi antara menu paling laris selepas mendapat perhatian menerusi media sosial beberapa bulan lalu. Menurut Azroy, idea memperkenalkan roti sarang burung di Bintulu ini tercetus daripada dirinya yang berasal dari Melaka dan mahu membawa citarasa dari negeri berkenaan untuk diperkenalkan kepada masyarakat setempat.
“Saya berasal dari Melaka, jadi saya cuba bawa masakan dari sana untuk diperkenalkan di Bintulu. Alhamdulillah, roti sarang burung ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang di sini,” katanya ketika ditemui media.

“Saya fokus kepada satu menu iaitu roti sarang burung dulu. Selepas itu baru beralih ke menu lain dan tidak sangka juga menu lain pun ramai yang suka seperti roti canai keju, nasi lemak dan soto ayam. Alhamdulillah, ramai yang memberikan maklum balas yang baik kepada kami,” katanya.
Di sebalik sambutan pelanggan itu, Sharifah kini sedang melalui cabaran lebih besar selepas disahkan menghidap kanser payudara hasil pemeriksaan lanjut dan biopsi dibuat pada beberapa bulan yang lalu.
“Apabila pertama kali menerima berita itu, memang terkejut dan takut. Tetapi selepas itu saya cuba menerima bahawa ini adalah ujian yang perlu saya hadapi,” katanya.
Walaupun menjalani ujian kesihatan, Sharifah tetap mahu membantu menguruskan perniagaan selagi keadaan tubuh mengizinkan.
“Saya tak mahu kata saya kuat setiap hari kerana sebenarnya saya pun ada masa saya penat, takut dan menangis. Tetapi selagi keadaan badan mengizinkan, saya mahu terus melakukan apa yang saya mampu,” katanya.
Menurutnya, berniaga bukan sekadar mencari pendapatan, malah menjadi satu bentuk ibadah dan usaha untuk menampung kehidupan keluarga.
“Bagi saya, berniaga ini juga adalah salah satu ibadah. Kita mencari rezeki yang halal sambil menampung kos kehidupan dan membantu keluarga,” katanya.
Katanya, perniagaan itu juga menjadi sesuatu yang dibina bersama suaminya.
“Selagi Allah berikan kita kudrat dan kemampuan, kita teruskan. Bagi kami, berniaga ini bukan hanya tentang keuntungan, tetapi bagaimana kita berusaha mencari rezeki dan melakukan sesuatu yang bermanfaat,” katanya.
Sementara itu, Azroy berkata beliau sentiasa memastikan isterinya tidak memaksa diri dan akan mengambil alih tugas sekiranya keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
“Kalau dia penat, saya minta dia berehat. Kalau ada kerja yang dia tak mampu buat, saya ambil alih,” katanya.
Menurutnya, sokongan emosi daripada pasangan dan keluarga amat penting bagi individu yang sedang berdepan kanser.
“Kalau ada isteri atau ahli keluarga yang sedang menghadapi kanser, sebagai suami kita perlu terus beri semangat dan cuba buat mereka gembira. Jangan biarkan mereka rasa bersendirian dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Beliau turut berpesan supaya orang ramai tidak memaksa pesakit untuk sentiasa kelihatan kuat, sebaliknya mendekati mereka dan menjadi tempat untuk mendapatkan sokongan.
“Kalau ada kawan atau ahli keluarga yang mengalami perkara sama, dekati mereka. Jangan paksa mereka untuk terus menjadi kuat. Kadang-kadang mereka cuma perlukan seseorang untuk berada di sisi, mendengar dan membuat mereka rasa gembira,” katanya.
Azroy turut menyeru orang ramai supaya tidak mengabaikan sebarang perubahan luar biasa pada tubuh dan mendapatkan pemeriksaan sewajarnya.
“Kalau ada perubahan pada tubuh atau sesuatu yang dirasakan luar biasa, jangan abaikan dan jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.
Sharifah pula berkata, walaupun ada pihak yang menasihatkannya supaya tidak menghebahkan mengenai penyakit yang dihadapi, beliau memilih untuk berkongsi pengalaman sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Ada yang pesan kepada saya, kalau sakit jangan diwar-warkan. Tetapi bagi saya yang mengalami sendiri perkara ini, kanser bukan sesuatu yang boleh kita anggap remeh dan simpan sendiri,” katanya.
Katanya, perkongsian itu diharap dapat mendorong orang ramai supaya lebih peka terhadap kesihatan dan mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya terdapat simptom atau perubahan pada tubuh.
“Saya sendiri pernah tidak begitu mengambil berat mengenai kesihatan. Jadi daripada pengalaman yang saya lalui ini, saya mahu berpesan kepada semua supaya jangan abaikan kesihatan diri,” katanya.
“Kalau ada sejarah kanser dalam keluarga atau terdapat ketulan walaupun masih kecil, pergilah buat pemeriksaan. Lebih baik kita periksa dan dapatkan rawatan awal daripada membiarkan sahaja sehingga boleh memudaratkan diri pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum menceburi bidang perniagaan, Azroy pernah berkhidmat sebagai ustaz di Pondok Agama Baitul Qurro’ Wal Furqoha’ di Jasin, Melaka, selain pernah mengajar di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Izzah di Kuantan, Pahang.
Sharifah pula pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej MSC Banting, Selangor, sebelum berhenti bagi menjaga bapanya yang ketika itu sedang sakit.
Bagi pasangan itu, sokongan pelanggan tidak semestinya hadir kerana simpati terhadap keadaan mereka, sebaliknya mereka mahu Gerai Satay Wan dikenali melalui makanan yang dihasilkan.
“Kami tak mengharapkan pelanggan menyokong kami kerana rasa simpati atas apa yang kami lalui. Kami mahu mereka terus datang kerana mereka suka makanan kami dan percaya dengan apa yang kami usahakan,” kata Azroy.
Azroy turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang tidak jemu berkunjung ke gerai mereka dan terus memberikan sokongan.
“Untuk semua pelanggan yang tidak jemu datang ke gerai kami, saya ucapkan terima kasih atas segala sokongan dan perhatian. Kalau ada yang mahu menyokong, datanglah makan, kongsikan kepada keluarga dan kawan-kawan atau sekadar tinggalkan doa yang baik untuk kami. Bagi kami, itu sudah lebih daripada cukup,” katanya.
Menurutnya, setiap kunjungan pelanggan memberi makna besar kepada mereka dalam usaha meneruskan perniagaan dan kehidupan.
“Bagi saya, setiap kali pelanggan memilih untuk makan di kedai kami, mereka sebenarnya bukan sekadar membeli makanan. Mereka sedang membantu kami untuk terus berdiri dan meneruskan kehidupan. Sebenarnya, itulah sokongan yang paling kami hargai,” katanya.
Katanya, mereka berharap terus diberikan kekuatan, kesihatan dan semangat untuk meneruskan perniagaan berkenaan.
“Kami berharap Allah terus memberikan kami kekuatan dan semangat untuk meneruskan perniagaan ini. Kepada yang membaca atau melihat kisah kami, kami mohon doakan agar isteri saya terus diberikan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Gerai Satay Wan beroperasi setiap hari dari 7.30 pagi hingga 1.00 petang, kecuali Selasa sebagai hari rehat, manakala pelanggan turut boleh mendapatkan menu menerusi aplikasi penghantaran Misi Delivery.
“Insya-Allah, semoga dipanjangkan usia. Apa yang saya lalui ini biarlah menjadi pengajaran untuk semua. Jangan tunggu sakit menjadi lebih teruk baru kita mahu ambil tahu tentang kesihatan. Mencegah lebih baik daripada merawat,” kata Sharifah.
Daripada kisah Sharifah dan Azroy, kita belajar bahawa ujian bukan alasan untuk berhenti melangkah. Di sebalik kesukaran yang mereka lalui, mereka tetap memilih untuk kuat, saling menyokong dan terus mencari rezeki. Kadangkala, sokongan kecil daripada kita seperti membeli makanan, bertanya khabar atau menitipkan doa, mampu memberi kekuatan besar kepada mereka yang sedang berjuang.
Oleh Faizah Muzidi





