Sarawak buru kejuaraan keseluruhan ke-15, sasar 70 emas

Facebook
WhatsApp
SEBAHAGIAN kontinjen Para Sarawak sebelum berlepas ke Selangor bagi menyertai Para Sukan Malaysia (Para Sukma) XXII Selangor 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Kontinjen Para Sarawak memulakan misi mempertahankan kejuaraan keseluruhan buat kali ke-15 pada Para Sukan Malaysia (Para Sukma) XXII Selangor 2026 dengan sasaran 70 pingat emas.

Perlepasan kontinjen dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini, menandakan bermulanya cabaran atlet Sarawak untuk merealisasikan sasaran berkenaan pada temasya yang berlangsung dari 5 hingga 10 September ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah sebelum ini menetapkan sasaran 70 pingat emas sebagai usaha meneruskan penguasaan Sarawak dalam temasya sukan berkenaan.

AHLI keluarga dan penyokong memberikan sokongan kepada atlet Para Sarawak sebelum berlepas ke Selangor bagi menghadapi Para Sukma XXII Selangor 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini. Foto UKAS

Seramai 383 anggota kontinjen Sarawak, terdiri daripada atlet dan pegawai, akan mengambil bahagian dalam 10 jenis sukan yang menawarkan keseluruhan 338 acara.

Perlepasan di KIA turut disaksikan ahli keluarga, pegawai serta penyokong yang hadir bagi memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada atlet sebelum meneruskan perjuangan di Selangor.