KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus mendapat sokongan minggu depan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 September, dengan bank pusat diunjur mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beliau tidak nampak sebarang sebab untuk BNM mengubah pendirian dasarnya pada masa ini.
Beliau berkata ekonomi berkembang pada kadar kukuh seperti yang dicerminkan menerusi pertumbuhan sebanyak enam peratus pada suku kedua.
“Pada masa yang sama, inflasi kekal terkawal. Walaupun meningkat, kadarnya masih pada tahap sederhana. Pada Jun 2026, inflasi meningkat sebanyak 1.9 peratus (suku kedua 2026) berbanding 1.6 peratus pada suku pertama.
“Memandangkan BNM berkemungkinan mengekalkan kadarnya, ia dijangka menjadi pemangkin positif untuk menyokong ringgit,” katanya kepada Bernama
Mengenai prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS) Mohd Afzanizam berkata kadar itu tidak dijangka dinaikkan memandangkan keadaan pasaran buruh yang lebih lemah pada Julai dan perkembangan terkini melibatkan intervensi Perbendaharaan AS dalam pasaran bon jangka panjang.
Beliau menjangkakan ringgit diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.03 and RM4.04 minggu depan menjelang pengumuman data penggajian bukan ladang (NFP) AS dan data ISM.
Katanya, kedua-dua petunjuk itu akan menjadi data utama yang akan dipantau peserta pasaran.
“Berdasarkan konsensus, NFP dijangka merekodkan penciptaan pekerjaan berjumlah 45,000 pada Ogos berbanding penguncupan 23,000 pekerjaan pada Julai,” katanya.
Sementara itu, ahli strategi global Quintex Intel Stephen Innes menjangkakan ringgit diniagakan dalam jajaran terhad awal minggu depan apabila tumpuan pasaran terarah kepada laporan NFP AS yang dijadual dikeluarkan pada 4 September.
“Laporan NFP AS berpotensi untuk menggerakkan pasaran kadar faedah AS dan seterusnya dolar AS,” katanya.
Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Kevin Warsh akan menjadi pemangkin segera kepada pasaran manakala data penggajian dijangka mempengaruhi jangkaan pasaran menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 15-16 September.
“Pasaran juga akan memantau perkembangan AS-Iran, terutamanya dengan laporan bahawa Tehran sedang membuat persediaan untuk membuka semula Selat Hormuz, sekali gus bakal mengurangkan risiko bekalan minyak,” katanya.
Dalam pada itu Kenanga IB memaklumkan BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, justeru bakal menyaksikan ringgit dipacu terutamanya oleh kadar faedah global dan pegangan dolar AS.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.0230/0270 daripada 4.0365/0405 pada minggu sebelumnya.
Sepanjang minggu yang baru berakhir ini unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4632/4687 daripada paras penutup 5.5118/5173 pada Jumaat minggu sebelumnya, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5193/5219 daripada 2.5449/5476 dan menokok berbanding euro kepada 4.6828/6874 daripada 4.7227/7274.
Unit tempatan juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada paras penutup 6.54/6.55 minggu sebelumnya naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1652/1686 daripada 3.1809/1843, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 227.3/227.7 daripada 228.1/228.4, dan menambah berbanding baht Thai kepada 12.2087/2253 daripada 12.3474/3638. – Bernama





