SIMANGGANG, 26 November: Sarawak terus mencipta sejarah dalam pembangunan infrastruktur apabila Jambatan Batang Lupar 2 secara rasmi dirasmikan hari ini, sekali gus menjadi jambatan mega ke-14 yang siap dibina di bawah program pembinaan jambatan utama Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan menyiapkan jambatan berkenaan membuktikan komitmen kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menunaikan janji pembangunan kepada rakyat.
Beliau berkata, tahun ini boleh dianggap sebagai tahun menuai hasil pembangunan jambatan apabila beberapa projek infrastruktur mega yang dirancang sebelum ini kini mula disiapkan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Hari ini Sarawak sekali lagi mencipta satu detik bersejarah dalam kejayaan pembangunan infrastruktur negeri.
“Tahun ini adalah tahun kita menuai jambatan. Pada petang ini kita merasmikan Jambatan Batang Lupar 2 yang merupakan jambatan mega ke-14 siap di bawah program pembinaan jambatan utama oleh JKR Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 2 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak hari ini.
Jambatan sepanjang 870 meter itu dibina dengan kos RM223.63 juta mengikut Piawaian JKR R5, merentasi Batang Lupar bagi menghubungkan kawasan Sri Aman dengan Betong.
Dari aspek kejuruteraan, jambatan berkenaan dilengkapi menara konkrit setinggi 145.5 meter menggunakan reka bentuk jambatan cable-stayed.
Lebih membanggakan, jambatan itu turut menerima pengiktirafan Buku Rekod Malaysia sebagai Menara Sokongan Jambatan Kabel Tertinggi di Malaysia.
Menurut Uggah, reka bentuk pembinaan menara jambatan turut mengambil kira aspek pemeliharaan fenomena alam semula jadi Benak yang menjadi tarikan pelancongan dan identiti tersendiri Bandar Sri Aman.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas keputusan meluluskan pembinaan jambatan berkenaan yang disifatkan sebagai pemangkin perubahan besar kepada penduduk Sri Aman, Betong dan kawasan sekitarnya.

“Premier memahami betapa pentingnya hubungan yang lebih dekat antara Bandar Simanggang dengan Bandar Betong.
“Keputusan itu membawa perubahan besar kepada keluarga yang kerap berulang-alik antara kedua-dua bandar ini,” katanya.
Uggah turut menegaskan bahawa kejayaan menyiapkan 14 jambatan mega membuktikan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunaikan komitmen pembangunan yang pernah diumumkan kepada rakyat.
“Hari ini jelas dengan 14 jambatan mega telah siap bahawa GPS dan Premier menunaikan janji.
“Janji ditepati. Bukan sekadar kata-kata, tetapi rakyat kini dapat melihat sendiri jambatan demi jambatan siap dibina,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 22 jambatan mega sedang menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan infrastruktur Sarawak, dengan 21 daripadanya dilaksanakan oleh JKR Sarawak manakala sebuah lagi di Lawas dibina oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Keseluruhan projek jambatan mega itu melibatkan peruntukan kira-kira RM7 bilion menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri.
Dalam pada itu, Uggah berkata pembangunan Jambatan Batang Lupar 2 turut disokong oleh pelaksanaan jaringan jalan raya menerusi projek Jalan Utama Kedua Sarawak (SSTR) dan Jalan Pesisir Pantai (CSTR) yang melibatkan peruntukan RM11 bilion.
Jaringan tersebut merangkumi beberapa pakej pembinaan dan naik taraf jalan raya yang menghubungkan Kuching, Samarahan, Sadong Jaya, Sebuyau, Lingga, Sri Aman, Betong, Roban, Pakan, Sarikei dan Sibu.
Apabila keseluruhan jaringan SSTR dan CSTR siap, perjalanan dari Kuching ke Sibu dijangka dapat dipendekkan kepada 252 kilometer berbanding 396 kilometer menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo.
Bagi penduduk Sri Aman dan Betong pula, jambatan berkenaan membawa perubahan ketara apabila perjalanan yang sebelum ini mengambil masa kira-kira satu jam bagi jarak 73 kilometer kini dapat dipendekkan kepada sekitar 20 minit dengan jarak hanya 28 kilometer.
“Kesemua projek ini merupakan satu game changer yang mengubah nasib masyarakat di kawasan pesisir.
“Ia memudahkan pergerakan hasil pertanian, membuka peluang kepada peniaga kecil, mempercepat perkhidmatan kecemasan, memudahkan urusan harian rakyat serta membuka lebih banyak peluang kepada sektor pelancongan,” katanya.
Uggah berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan GPS untuk meningkatkan peluang ekonomi dan pendapatan rakyat, termasuk sasaran pendapatan isi rumah sebanyak RM15,000 menjelang 2030.
Beliau turut menyifatkan Sarawak kini sedang melalui fasa transformasi luar biasa hasil kepimpinan berwawasan Premier Sarawak, sekali gus meletakkan negeri ini pada landasan pembangunan yang semakin kukuh.
Oleh Adi Safarman




