MARUDI : Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil menegaskan bahawa seorang ADUN tidak berhak untuk campur tangan di dalam pemilihan Ketua Kaum (KK) sesebuah kampung.
Kata beliau, KK dipilih melalui pemilihan di peringkat kampung. Hal yang sama berlaku bagi kes pemilihan Ketua Kaum Orang Ulu kerana ia juga perlu mengikut adat resam mereka.
Katanya proses pemilihan dipantau oleh Pejabat Daerah masing-masing dan bagi Orang Ulu pula, ‘Council Of Elders’ akan memberi nasihat dari segi adat.
Seterusnya lantikan rasmi akan dibuat berdasarkan Ordinan dan Pekeliling Kerajaan melalui Jawatankuasa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum ( KMKK) bagi peringkat bahagian yang dipengerusikan oleh Residen.
“Kita mempunyai sistem pentadbiran yang teratur dan sewajarnya kita menggunakan saluran ini,” katanya berucap di majlis Adat Istiadat dan Doa Kesyukuran pelantikan Ketua Kaum Kayan, Seman Anyie di Long Sepiling Baram oleh Pemanca Gilbert dan disaksikan oleh Orang Ulu ‘ Council Of Elders’ diketuai Temenggong Elizabeth Deng.
Penguang mengucapkan tahniah kepada KK Seman Anyie dan berharap penduduk Long Sepiling memberi kerjasama baik kepeda KK baharu mereka dan bersama-sama berganding bahu bagi mencapai objektif masing-masing.
Menyentuh tentang pembangunan di Long Sepiling, Penguang menegaskan projek penyambungan elektrik luar bandar ( RES N76 Phase-1) dan baik pulih jalan sedang giat dijalankan.
Justeru beliau menggesa semua pihak memberi kerjasama penuh kepada agensi-agensi yang melaksanakan projek-projek pembangunan ini.
Di majlis tersebut Penguang mengumumkan peruntukan baik pulih rumah berjumlah RM53,000 kepada kampung berkenaan, selain peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 dan RM5,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita kampung.
Pada kesempatan yang sama, turut disampaikan ialah 50 unit tangki air baharu kepada kampung berkenaan.
DalPenguang menasihati kepada semua pihak supaya menggunakan saluran yang betul bagi melaporkan sebarang masalah yang dihadapi penduduk kampung dan bukannya melalui media sosial.
Dalam perkembangan sama, Ketua-Ketua Komuniti Kayan juga menyatakan sokongan penuh kepada Datu Dr Penguang Manggil dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih besar pada PRN12 nanti.
Majlis tersebut turut disaksikan Setiausaha Politik di Pejabat Ketua Menteri Alexander Asing dan Charles Balan Seling, Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling, Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai, Ketua-Ketua Masyarakat, Ketua-ketua Kaum dari pelbagai etnik dan pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Oleh Jiku Juguong