PETRA JAYA, 13 Oktober: Sejarah Sarawak masih kurang diketengahkan dalam buku teks sekolah di Malaysia, sedangkan negeri ini mempunyai pelbagai kisah masyarakat tempatan yang wajar diketahui oleh generasi muda.
Royston Valentine (GPS-Tellian) berkata, sejarah Sarawak bukan sahaja merangkumi tokoh dan peristiwa besar, malah turut melibatkan kehidupan masyarakat tempatan yang membentuk identiti negeri itu.
“Walaupun begitu, sejarah Sarawak masih kurang diberikan perhatian dalam buku teks yang digunakan dalam sistem pendidikan Malaysia.

“Sarawak mempunyai puluhan etnik dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan adat resam yang perlu dipelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan mengumpul dan mendokumentasikan sejarah masyarakat tempatan agar generasi muda dapat mengenali sejarah Sarawak dengan lebih menyeluruh.

Katanya, usaha itu perlu merangkumi pemeliharaan dokumen lama, gambar, surat-menyurat, manuskrip, rakaman audio dan video serta cerita masyarakat setempat yang menjadi sebahagian daripada khazanah sejarah negeri.
Justeru, beliau berharap agar pewujudan arkib peringatan menerusi pindaan RUU berkenaan dapat memperkukuh usaha tersebut, termasuk mendokumentasikan sejarah kampung, bandar, daerah, institusi, komuniti dan tokoh tempatan di seluruh Sarawak.
Sementara itu, Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) turut membangkitkan kebimbangan mengenai sejarah masyarakat luar bandar, khususnya masyarakat Bidayuh, yang sebahagian besar warisan sejarahnya masih disampaikan secara lisan.

“Kisah pembukaan kampung, penghijrahan masyarakat, adat perkahwinan dan amalan tradisional berisiko hilang apabila generasi terdahulu meninggal dunia sebelum sempat mewariskan pengetahuan tersebut.
“Saya mencadangkan agar kerjasama dijalin dengan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) untuk mengumpul dan mendokumentasikan sejarah, bahasa serta adat resam masyarakat Bidayuh,” katanya.

Abdul Yakub Arbi (GPS-Balingian) pula berkata, usaha pendokumentasian sejarah perlu diperluas ke semua bahagian dan daerah, termasuk melalui rakaman sejarah masyarakat Melanau, perkembangan ekonomi sagu, kampung tradisional serta kehidupan masyarakat pesisir pantai di Mukah.
Dalam perbahasan yang sama, Dato Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok) menekankan kepentingan penggunaan teknologi digital serta penglibatan kurator dan ahli arkib yang berkemahiran bagi memastikan bahan sejarah dapat dipersembahkan dengan lebih menarik dan mudah difahami oleh generasi muda.
Oleh Masrin Affirah





