KUALA LUMPUR: Mengambil aura kejayaan filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof yang meraih kutipan RM97 juta, Pisang Production Sdn Bhd merealisasikan pementasan teater Pelayaran Panglima Awang yang membuka tirai persembahannya semalam hingga esok (Ahad).
Idea asal oleh Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan skrip ditulis Anwar Mohd Zulkifli, teater arahan Hazzley Abu Bakar itu merupakan adaptasi daripada novel fiksyen Panglima Awang, karya Harun Aminurrashid (1958).
Menurut penerbitnya Razali Hussain, 48, skrip itu dipilih selepas beliau teruja melihat sambutan baik masyarakat terhadap filem Mat Kilau dan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, dan dengan bantuan geran daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, semuanya dapat direalisasikan dengan lancar.
“Penerbitan teater Panglima Awang ini juga untuk menyemarakkan seni warisan dan budaya bangsa. Penonton boleh mencontohi semangat jati diri watak Panglima Awang yang dikenali sebagai satu-satunya orang Melayu yang berlayar ke seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Razali mengharapkan orang ramai menyokong pementasan teater berkenaan memandangkan usaha merealisasikan persembahan yang berlatarbelakangkan zaman kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511, bukan mudah.
“Semua alatan, pakaian dan set pentas memang berlatarkan tahun tersebut dengan ada yang disewa dan ada yang dibuat baharu. Semuanya lengkap dan turut dibantu pencahayaan yang baik,” katanya, menambah pementasan melibatkan 76 orang, merangkumi pekaon dan kru.
“Pihak produksi juga mendapat khidmat tenaga mahasiswa daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, selain pesilat daripada Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Lincah Malaysia dan Cimandi Pecahan Tujuh Malaysia,” katanya.
Katanya walaupun barisan pelakon seperti Md Husin, Anwar Pisang, Ika Angah LJ, Khusiary Mahayuddin, Sukry San, Apai Azha dan Shahril Kamil merupakan nama yang kurang dikenali, kesemuanya memberikan komitmen tinggi kepada watak mereka.
Bagi yang ingin menyaksikan persembahan itu, mereka boleh ke Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka dengan persembahan untuk hari ini (Sabtu) bermula 8.00 malam, dan Ahad 3 November pada 2.30 petang. – Bernama