LAWAS: Pembukuan warisan khazanah masyarakat Kedayan yang kaya dengan jampi mentera dalam segala aspek kehidupan mereka penting agar tidak hilang ditelan zaman.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Rosey Yunus memberitahu, generasi hari ini yang sibuk dengan pendidikan dan pekerjaan telah dilihat jauh daripada hidup di samping orang-orang tua yang banyak menyimpan khazanah ini.
“Generasi muda hari ini kurang melihat kepada amalan-amalan adat budaya ini.
“Oleh itu, kalau ini kita tidak ambil balik, cari balik dan bukukan maka ia akan hilang bersama hilangnya insan-insan yang penuh ilmu ini.
“Justeru, saya berharap agar Persatuan Kedayan Lawas bersama persatuan-persatuan kedayan yang lain untuk berkongsi dalam kita mengisi kepada tabungan khazanah ini tadi,” katanya.
Rosey berkata demikian ditemui pemberita selepas mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan majlis penangguhan Pesta Makan Tahun Kedaya Lawas 2024 di Pusat Khidmat Mini Ulu Merapok, hari ini.
Pesta Makan Tahun Kedayan Lawas itu dibanjiri ribuan hadirin daripada kaum Kedayan daripada Bekenu, Miri, negara Brunei, Limbang, Lawas, negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis diserikan dengan penyampaian hadiah berbagai pertandingan tradisional masyarakat kedayan dan diakhiri dengan majlis menikmati juadah yang disediakan tujuh kampung di kawasan Merapok.
Pada majlis berkenaan, Awang Tengah juga mahu perayaan kebudayaan ini terus kekal sebagai wadah perpaduan berbagai kaum di Sarawak.
Tegasnya lagi, masyarakat kedayan perlu memastikan generasi mereka terus diberi pendidikan sempurna agar tidak tercicir daripada gelombang pembangunan di Sarawak.
Selain itu, perlu peka dengan berbagai inisiatif yang disediakan kerajaan Sarawak untuk membangunkan masyarakat luar bandar dan merebut peluang membangunkan diri dan keluarga.
Oleh Adeng Edrus