KUCHING: Kerajaan Sarawak membenarkan pembukaan pusat internet di zon hijau, namun perlu mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggas Embas.
Douglas berkata pusat internet itu merupakan antara inisiatif di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semasa penguatkuasaan PKP ini, kami melarang perjalanan dari zon merah ke zon hijau. Jadi sekiranya pusat internet berkenaan menggunakan tenaga kerja dalam kawasan tempatan, kami membenarkan mereka beroperasi.
“Pusat internet ini perlu bagi kegunaan orang ramai untuk menyemak bantuan BPN (Bantuan Prihatin Nasional) dan sebagainya tetapi yang penting sesiapa sahaja yang menggunakan pusat itu perlu mengamalkan jarakan sosial dan kebersihan diri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada sidang media harian COVID-19 di sini, semalam.
Antara kemudahan yang disediakan di pusat berkenaan adalah perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi, kursus dan latihan ICT serta e-dagang yang telah meningkatkan kemahiran masyarakat setempat dan sehingga kini terdapat 870 pusat internet yang sedang beroperasi di seluruh negara.
Dalam pada itu, Uggah berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga telah mencadangkan untuk mewujudkan beberapa Pasar Tani di Sarawak bagi kemudahan para penternak, petani dan nelayan untuk memasarkan hasilan mereka.
“Namun pelaksanaan terhadap cadangan itu tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Uggah berkata beliau kagum dengan rakyat Sarawak yang semakin menunjukkan kesungguhan untuk menjalankan urusan jual beli dalam tempoh PKP ini menggunakan perkhidmatan e-dagang atau pembelian dalam talian.
“Saya nampak ada banyak peniaga yang meneruskan perniagaan mereka menggunakan perkhidmatan secara online (dalam talian) dan ini sekali gus dapat mengurangkan perjumpaan sosial dalam kalangan masyarakat,” katanya.-Bernama