DIYANA SAMSUDDIN
KUCHING: Pembinaan bangunan pejabat Dewan Perniagaan Dayak (DCCI) dan Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) dijangka bermula selepas perayaan Gawai Dayak tahun ini.
Presiden DCCI, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, projek itu dibina di atas tapak seluas 2.266 hektar di Jalan Ong Tiang Swee di sini.
Beliau berkata demikian selepas menerima cek bernilai RM10 juta daripada Kerajaan Sarawak bagi membiayai pembinaan bangunan itu di sini semalam.
Salang berkata, penyerahan cek RM10 juta hari ini adalah yang kedua daripada RM20 juta yang diperuntukkan Kerajaan Sarawak kepada kedua-dua organisasi dayak itu.
“Setiap organisasi mendapat RM10 juta. Kami memang sangat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas peruntukan tersebut.
“Kami juga mengucap terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memperuntukkan sebidang tanah tersebut kepada DCCI dan DCF,” katanya.
Salang berkata selain bangunan pejabat, tanah selebihnya akan digunakan untuk membangunkan pangsapuri kediaman.
“Kerja meratakan tapak dan yang lain telah dilakukan” katanya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Ketua DCF mewakili Kerajaan Sarawak menyampaikan cek itu kepada Salang di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Hadir sama Lt. Jen (B) Datuk Stephen Mundaw yang mewakili pengerusi lembaga amanah DCF Tan Sri Leonard Linggi Tun Jugah dan seorang lagi pegawai DCF, Allistar Hilton Smith.