KUCHING: Sesebuah projek pembangunan tidak boleh dianggap berjaya hanya kerana siap dibina atau peruntukannya telah dibelanjakan, sebaliknya kejayaannya perlu dinilai berdasarkan manfaat sebenar yang diterima rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setiap projek mesti selamat digunakan, berkualiti, menepati keperluan rakyat serta memberikan manfaat setimpal dengan perbelanjaan awam.
“Kelewatan yang tidak munasabah, pembaziran, mutu kerja yang rendah atau kecuaian dalam pemantauan ialah isu integriti kerana kesannya ditanggung oleh rakyat pada akhirnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Integriti sempena sambutan Hari Integriti Sarawak (HIS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu memastikan proses perolehan dilaksanakan secara telus, kompetitif serta berpandukan prinsip nilai untuk wang.
Menurutnya, setiap projek perlu dipantau bermula daripada peringkat perancangan sehingga penyerahan bagi memastikan kos dipatuhi, tempoh ditepati, spesifikasi dipenuhi dan kualiti berada pada standard ditetapkan.
Katanya, PCDS 2030 bukan sekadar menuntut kerajaan membina lebih banyak jalan raya, jambatan, sekolah atau kemudahan awam, tetapi memastikan setiap perancangan dibuat berdasarkan keperluan sebenar rakyat.
“Setiap ringgit dibelanjakan dengan berhemah dan setiap manfaat sampai kepada kumpulan yang disasarkan.

“Dasar yang baik tidak akan memberi makna sekiranya pelaksanaannya lemah, lewat, membazir atau disalahgunakan,” katanya.
Beliau turut menegaskan agenda pembangunan Sarawak memerlukan kerjasama kukuh antara kementerian, jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan sektor swasta.
Menurutnya, semua pihak tidak boleh bekerja secara berasingan atau meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan negeri dan rakyat.
Sebaliknya, semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan matlamat sama bagi memastikan visi kerajaan diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dirasai rakyat.
Oleh Norman B





