KUCHING: Pembudayaan integriti perlu bermula dari rumah sebelum diperkukuh melalui pendidikan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, usaha membina masyarakat berintegriti tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada kerajaan atau perkhidmatan awam kerana keluarga merupakan asas pertama dalam pembentukan nilai dan peribadi seseorang.
Menurutnya, nilai kejujuran, amanah, disiplin dan tanggungjawab perlu diterapkan melalui pendidikan serta teladan dalam kehidupan seharian.
“Sekolah bukan sahaja tempat menimba ilmu, tetapi juga tempat membentuk sahsiah dan jati diri serta memupuk keupayaan generasi muda untuk membuat keputusan yang betul berdasarkan nilai yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Integriti sempena Sambutan Hari Integriti Sarawak (HIS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan menyokong usaha Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) menerusi penubuhan Kelab Rakan Integriti Sekolah (KRIS) serta pembangunan modulnya sebagai pendekatan untuk memperkenalkan nilai integriti secara lebih tersusun kepada generasi muda.

Katanya, pendekatan itu penting bagi melahirkan anak Sarawak yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah mempunyai prinsip, beretika serta bertanggungjawab terhadap setiap tindakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembudayaan integriti perlu diteruskan di peringkat komuniti dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang paling dekat dengan rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) merupakan antara usaha untuk memperkasa pemimpin akar umbi dengan pengetahuan berkaitan integriti, tadbir urus dan pengurusan amanah.
“Kita mahu integriti menjadi budaya yang bermula di rumah, diperkukuh di sekolah dan diamalkan dalam komuniti.
“Apabila nilai ini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat, kita bukan sahaja membina pentadbiran yang lebih baik, tetapi juga membentuk masyarakat yang menjadi tunjang kepada kemakmuran Sarawak yang mampan,” katanya.
Beliau berkata, integriti merupakan amanah bersama yang perlu menjadi pegangan setiap lapisan masyarakat bagi memastikan kemakmuran Sarawak dapat terus diwariskan kepada generasi akan datang.
Oleh Norman B





