KUCHING: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan ketika ini lebih menjurus kepada usaha menambah takungan air di empangan dan loji takungan air yang semakin menyusut akibat cuaca kering, bukannya sebagai kaedah untuk mengatasi masalah jerebu.
Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim berkata, keadaan jerebu ketika ini berpunca daripada asap rentas sempadan yang dibawa angin dari Kalimantan, Indonesia.
“Hujan yang turun di Sarawak juga tidak semestinya dapat menghapuskan jerebu sekiranya jumlah titik panas di Kalimantan masih tinggi dan tiupan angin terus menghala ke negeri ini.
“Operasi pembenihan awan ini bukan bertujuan untuk menghilangkan jerebu sepenuhnya kerana ia berpunca dari negara jiran. Namun, kita ingin memastikan rakyat di Serian mendapat sedikit kelegaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM di pejabatnya di sini, petang ini.
Mengulas pelaksanaan OPA, Khairul berkata operasi berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana ia bergantung kepada kewujudan kelompok awan yang sesuai untuk dibenihkan.
“Awan yang stabil dan berada di lokasi bersesuaian diperlukan bagi membolehkan proses pembenihan menghasilkan hujan di kawasan sasaran, termasuk kawasan kolam tadahan air.
“Bukan semua awan boleh dibenihkan. Kita memerlukan keadaan dan struktur awan yang sesuai supaya usaha ini dapat menghasilkan hujan di kawasan yang disasarkan,” jelasnya.
Justeru, pelaksanaan OPA lebih memberi tumpuan kepada usaha menambah sumber air ketika keadaan cuaca kering, khususnya bagi memastikan paras takungan air dapat dipertingkatkan.





