KUCHING: Operasi pembenihan awan (OPA) yang diteruskan hingga esok di seluruh Sarawak adalah usaha berterusan untuk mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata operasi itu diteruskan susulan kejayaan operasi semalam yang menghasilkan hujan di kawasan sasaran Empangan Bakun dan Murum.
“Operasi hari ini akan diteruskan seperti yang dirancang dan akan dilaksanakan sekiranya keadaan awan serta cuaca mengizinkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarawak telah menjalankan OPA yang menyasarkan empangan utama dan kawasan tadahan air di negeri itu sejak Khamis.
Sementara itu, Uggah berkata kualiti udara di Serian menunjukkan trend penurunan yang semakin baik dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 185 setakat 12 tengah hari ini, iaitu tidak sihat.
“Bacaan IPU di Serian menunjukkan trend penurunan ketika memasuki hari kedua dari tiga hari pemantauan. Paras IPU dipengaruhi terutamanya oleh arah angin serta sumber titik panas,” katanya.
Beliau berkata pemantauan berterusan perlu dilakukan sebelum sebarang syor rasmi berhubung status darurat di Serian dikemukakan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Uggah berkata data daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) menunjukkan tiada titik panas dikesan di Sarawak manakala 184 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia. – Bernama




