Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pembangunan luar bandar Batang Lassa terus diperkasa
  • Tengah
  • WILAYAH

Pembangunan luar bandar Batang Lassa terus diperkasa

Utusan Sarawak 6 hours ago
UNTUK RAKYAT…..Dr Safiee merasmikan beberapa projek yang telah siap dilaksanakan di Batang Lassa iaitu Projek Jalan Batang Lassa di Rumah Mohamadin Jumut, Projek Naik Taraf Jalan Rumah Wih dan Projek Naik Taraf Dewan Batang Lassa.

DARO: Program Keselamatan dan Kebersihan Sungai serta majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2026 telah berlangsung meriah di Rumah Jimbau Damu, Batang Lassa, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad telah menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Berucap pada majlis tersebut, Dr Safiee berkata, kerajaan Sarawak terus komited memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang menerusi pelbagai projek infrastruktur, bekalan air serta pendidikan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat Batang Lassa.

“Pembangunan yang dirancang dan sedang dilaksanakan di kawasan itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengabaikan kawasan luar bandar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Safiee turut meninjau beberapa projek pembangunan utama yang bakal dilaksanakan termasuk Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) Batang Lassa bernilai RM16.5 juta, Projek Bina Baharu Jeti Batang Lassa bernilai RM350,000 serta Projek Pembangunan Sekolah Kebangsaan Batang Lassa bernilai RM57.5 juta.

DR SAFIEE….Ketika menyampaikan 50 unit jaket keselamatan kepada 14 Tuai Rumah dan 15 murid SK Batang Lassa.

Menurutnya, projek-projek berkenaan dijangka memberi impak besar terhadap peningkatan akses bekalan air bersih, kemudahan pengangkutan sungai dan peluang pendidikan berkualiti kepada penduduk setempat.

“Pendidikan merupakan antara asas penting dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing, manakala kemudahan asas seperti bekalan air dan infrastruktur pengangkutan perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” ujarnya.

Dr Safiee turut merasmikan beberapa projek yang telah siap dilaksanakan iaitu Projek Jalan Batang Lassa di Rumah Mohamadin Jumut bernilai RM250,000, Projek Naik Taraf Jalan Rumah Wih bernilai RM500,000 dan Projek Naik Taraf Dewan Batang Lassa bernilai RM200,000.

Sementara itu, Dr Safiee yang juga Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) berkata, sungai kekal menjadi nadi kehidupan penduduk luar bandar sebagai laluan pengangkutan, sumber ekonomi dan penghubung kepada pelbagai kemudahan asas.

Beliau menegaskan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan dan kebersihan sungai perlu diteruskan secara berterusan bagi memastikan kelestarian sungai dapat dipelihara.

Sebagai simbolik komitmen terhadap keselamatan komuniti sungai, Dr Safiee turut menyampaikan 50 unit jaket keselamatan kepada 14 Tuai Rumah dan 15 murid Sekolah Kebangsaan Batang Lassa.

Beliau turut menggesa pemimpin masyarakat agar memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan menggalakkan penggunaan jaket keselamatan serta mengamalkan budaya menjaga kebersihan sungai dalam komuniti masing-masing.

Majlis turut diserikan dengan sambutan Ngiling Bidai Gawai Dayak 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah dan menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memperkukuh semangat perpaduan dalam komuniti.

Turut hadir Controller LSS, Lt. Kol. Ding Tiew Wong, Setiausaha Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Ng Siang Wei serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: 200 pengusaha taska, tadika sertai latihan pemakanan sihat di Miri
Next: JCI Mandarin Sibu anjur program pemeriksaan mata percuma di SK Sentosa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.