Lelaki 29 tahun ugut bapa saudara guna keris kerana wang

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengugut untuk mencederakan bapa saudaranya menggunakan sebilah keris dalam kejadian di Awik. Foto IPD Saratok

SARATOK, 16 November: Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengugut untuk mencederakan bapa saudaranya menggunakan sebilah keris dalam kejadian di Awik, semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), kira-kira 10.15 pagi tadi.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek meminta wang daripada mangsa yang berusia 67 tahun.

“Mangsa sebelum itu telah memberikan wang sebanyak RM30 kepada suspek.

“Bagaimanapun, suspek masih tidak berpuas hati dan meminta tambahan RM50, namun permintaan tersebut tidak dilayan,” katanya dalam satu kenyataan.

DSP Mathew berkata, mangsa enggan memberikan wang tambahan kerana mengetahui wang berkenaan dipercayai akan digunakan suspek untuk membeli bekalan dadah.

Susulan itu, kira-kira 9.00 malam, suspek dipercayai bertindak agresif dengan mengacukan sebilah keris ke arah mangsa sambil mengugut untuk mencederakannya.

Suspek turut menghentakkan keris berkenaan pada meja sofa sehingga rosak, selain memukul suis elektrik di rumah mangsa hingga pecah.

Tindakan itu menyebabkan mangsa berasa takut dan terancam serta bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Saratok.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine (AMPT) dan methamphetamine (MEPT). Siasatan awal turut mendapati suspek mengaku berada di bawah pengaruh alkohol selepas meminum minuman keras jenis langkau ketika kejadian.

Polis turut merampas sebilah keris berukuran kira-kira 18 sentimeter panjang berserta sarungnya bagi membantu siasatan.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau, termasuk dua kes berkaitan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan satu kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah serta khianat.

DSP Mathew berkata, suspek telah ditahan dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai selesai susulan penahanan tersebut.

Oleh Adi Safarman