ADI SAFARMAN
SIMANGGANG: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar bandar Merpati Putih setakat semalam adalah memuaskan.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John berkata injauan di beberapa lokasi dan premis termasuk pusat beli-belah mendapati pihak pengurusan dan pemilik kedai mematuhi SOP yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Pemantauan yang dilakukan semalam mendapati pihak pengurusan pusat beli-belah serta juga pekedai mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Keadaan di premis kemas, ada penyediaan pensanitasi tangan, pemeriksaan suhu badan dan pengunjung juga diambil butiran sebelum dibenarkan memasuki premis,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Tambah Bingkok juga, operasi pemantauan tersebut akan diteruskan sepanjang tempoh PKPB dilaksanakan.
“Operasi ini berterusan kerana kita mahu semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan,” tegasnya.
Turut sama dalam operasi tersebut ialah beberapa agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Selain operasi pemantauan, kita juga mengalu-alukan orang ramai yang ingin membuat aduan berkenaan pelanggaran SOP dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujar Bingkok.