
PADAWAN: Pemangkin STEM 2026 kini berkembang sebagai platform ekosistem pendidikan STEM bersepadu yang menghubungkan pelajar luar bandar dengan pelbagai peluang pembelajaran berasaskan teknologi di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program itu yang bermula sebagai inisiatif jangkauan pendidikan tiga tahun lalu kini berkembang secara terancang menjadi platform penglibatan langsung pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Transformasi itu tidak berlaku secara kebetulan sebaliknya dirancang bagi membina sistem sokongan pendidikan STEM yang lebih menyeluruh.
“Pemangkin STEM lebih daripada sekadar program, ia adalah platform yang menghubungkan, memperkasa dan menyokong usaha bersama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pemangkin STEM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padawan, di sini hari ini.

Menurutnya, platform itu turut membuka akses kepada pembelajaran digital, pengekodan dan kecerdasan buatan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor pendidikan dan industri.
Tambah beliau, Pemangkin STEM 2026 berfungsi sebagai penyelaras kepada Rangka Kerja Literasi STEM yang digunakan untuk menilai keberkesanan program pendidikan STEM di negeri ini.
Jelasnya, pendekatan itu membolehkan pencapaian pelajar, penglibatan, kesiapsiagaan guru dan tahap akses pendidikan diukur secara lebih sistematik.
“Dengan cara ini, keberkesanan pelbagai inisiatif STEM yang dilaksanakan oleh kami dan rakan strategik dapat diukur,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa