

petang tadi. -Foto kredit JBPM Zon Sibu
SIBU: Seorang lelaki cedera apabila van dipandunya yang membawa tujuh penumpang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kilometer 11 Jalan Sibu-Selangau (hadapan Rumah Seri Kenangan), petang tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.21 petang.
Katanya, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila pemilik SUV datang dari arah lapangan terbang telah hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan sebelum melanggar van yang dipandu oleh mangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Kemalangan terbabit hanya melibatkan seorang mangsa iaitu pemandu van yang telah tersepit di tempat duduk pemandu.
“Setelah pintu van dapat dibuka, mangsa terus dikeluarkan dengan selamat. Mangsa mengalami patah kaki sebelah kanan manakala semua penumpang lain dalam keadaan selamat,” ujar beliau.
Pemandu SUV bersama empat lagi penumpang termasuk seorang bayi lapan bulan dilaporkan selamat.
OLEH AKUN GIMAN