Wanita cedera selepas motosikal terbabas di Jalan Bebuling-Spaoh

Facebook
WhatsApp
SEORANG wanita berusia 23 tahun mengalami kecederaan selepas motosikal Modenas Kriss yang ditungganginya terbabas di Jalan Bebuling-Spaoh, pagi tadi. Foto APM Spaoh

SPAOH, 5 Oktober: Perjalanan seorang wanita berusia 23 tahun ke tempat kerja bertukar cemas selepas motosikal Modenas Kriss yang ditungganginya terbabas di Jalan Bebuling-Spaoh, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 8.44 pagi itu, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan yang tidak berturap dan tidak rata sebelum motosikalnya terbabas lalu terjatuh di bahu jalan.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.

Skuad Charlie yang diketuai Sarjan Kamarrul Badarudin bersama tiga anggota bergegas ke lokasi bagi memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa.

Setibanya di lokasi, pasukan APM mendapati wanita berkenaan mengalami kecederaan calar pada beberapa bahagian badan, termasuk kaki, tangan dan sebelah kanan muka.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih sedarkan diri ketika pasukan penyelamat tiba.

Pasukan APM kemudian memberikan rawatan awal sebelum memasang penyangga leher sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kecederaan pada tulang belakang.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Betong menggunakan kenderaan penyelamat untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

APM turut mengingatkan orang ramai supaya menghubungi talian 083-473006 atau 999 sekiranya berlaku kecemasan.

Oleh Adi Safarman

Dua maut dalam nahas jalan raya di Sibu

SIBU, 3 Oktober: Dua individu maut selepas kereta Perodua Bezza yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat