MUKAH, 13 Oktober: Seorang pemandu lori warga asing berusia 24 tahun ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine dalam pemeriksaan di hadapan sebuah kilang pemprosesan sawit di Jalan Dijih, Mukah, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah sekitar 1.30 tengah hari ketika menjalankan Op Tapis Khas.
Menurutnya, suspek diperiksa selepas kenderaan yang dipandunya didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap beg sandang milik suspek menemukan peralatan yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang dadah atau barangan terlarang dalam simpanannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk menjalani ujian saringan awal air kencing yang mengesahkan keputusan positif bagi kedua-dua jenis dadah berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak pertengahan tahun ini hingga kini.
Suspek turut memberikan maklumat berkaitan sumber bekalan dadah yang kini sedang diteliti pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkenaan.
Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan, manakala usaha mengesan punca serta rangkaian bekalan dadah yang dipercayai berkaitan dengan kes itu sedang diteruskan.
DSP Muhamad Rizal menegaskan bahawa IPD Mukah akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berpotensi menjadi lokasi kegiatan berkenaan.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah bagi membantu polis mengekang ancaman itu di Daerah Mukah.
Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline IPD Mukah di talian 084-871222 atau dengan mengunjungi balai polis berhampiran.
Oleh Adi Safarman




