DEBAK: Seorang pemandu lori 10 tan mengalami kecederaan ringan selepas terbabit dalam kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Simpang Debak petang tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abd Aziz berkata, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 1.54 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian seminit kemudian.
Beliau berkata, empat anggota Skuad Charlie bersama sebuah ambulans pacuan empat roda tiba di lokasi pada 2.01 petang bagi memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu merupakan kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah lori 10 tan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Hanif, mangsa yang berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan ringan iaitu calar pada tangan kanan serta luka kecil di bahagian belakang telinga.
Setibanya di lokasi, anggota APM segera memberikan rawatan awal bagi memastikan keadaan mangsa berada dalam keadaan stabil.
Walaupun dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut di klinik, mangsa dilaporkan enggan dihantar ke mana-mana fasiliti kesihatan.
Operasi bantuan di lokasi selesai pada 2.18 petang sebelum pasukan APM beredar dua minit kemudian.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, terutama kenderaan berat, bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.
Oleh Adi Safarman




