Pemandu cedera parah, treler muatan minyak rempuh belakang treler baja

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua lori treler di Batu 9, Lebuh Raya Pan Borneo Bintulu-Miri, petang tadi. Foto JBPM Sarawak

BINTULU: Seorang pemandu lori treler cedera parah selepas kenderaan membawa muatan minyak yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler lain yang membawa muatan baja di Batu 9, Lebuh Raya Pan Borneo Bintulu–Miri, petang tadi.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 5.11 petang.

“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan dua lori treler. 

“Pemandu lori muatan minyak didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah namun dalam keadaan sedar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota bomba seterusnya bertindak mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pemandu lori treler muatan baja dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.