SARATOK: Seorang pemandu mengalami detik cemas apabila kenderaan yang dinaikinya terbabas dan masuk ke dalam parit dalam kemalangan kendiri berhampiran bangunan Pejabat MPOB Saratok, di Jalan Roban Lama dekat sini hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima panggilan sekitar jam 11.56 pagi berhubung kemalangan tersebut.
“Setibanya di lokasi di dapati sebuah kereta jenis Proton Persona telah terbabas dan masuk ke dalam parit berhadapan bangunan Pejabat MPOB Saratok.
“Komander operasi terus melakukan penilaian awal di lokasi dan mendapati terdapat seorang mangsa berada di dalam kereta.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terus melakukan operasi dengan memecahkan cermin pintu bahagian belakang untuk membuka pintu dan ruang kerja bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.
PGO berkata komander operasi telah mengarahkan pasukan khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk masuk ke dalam kereta bagi melakukan perawatan awal dengan memasang alat penyangga leher.
“PKO terus mengeluarkan mangsa dengan menggunakan papan tulang belakang dan seterusnya membawa mangsa ke hospital menggunakan jentera EMRS. Mangsa cuma mengalami kecederaan ringan di bahagian temporal,” katanya.