MIRI: Seorang pemain veteran bola keranjang wakil Wilayah Persekutuan Labuan yang menyertai Kejohanan Bola Keranjang Veteran ASEAN ke-33 ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah kedai makan di Pusat Komersial Pelita di sini tengah hari semalam.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditemui dalam keadaan terbaring oleh orang awam sekitar jam 12 tengah hari.
Petugas kesihatan yang tiba di lokasi mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, kes itu disiasat di bawah laporan mati mengejut dan kes masih dalam siasatan pihak polis.
“Masyarakat dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memviralkan isu-isu sensitif di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat tempatan,” katanya.
Alexson berkata, pihak polis amat menghargai segala maklumat dan perkongsian yang diberikan oleh masyarakat.
Gambar
Pihak ambulans di lokasi mangsa