PASUKAN Kuching City FC masih belum bersedia sepenuhnya ketika perlawanan menentang pasukan Selangor FA II di Stadium Negeri di sini pada saingan Liga Perdana Malaysia baru-baru ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Fazzrudin Abdul Rahman (gambar) berkata, pekara itu jelas apabila pasukan selangor lebih menguasai perlawanan berbanding pasukannya pada perlawanan malam jumaat lalu.
“Agak jelas bahawa pasukan kami tidak berapa bersedia untuk bermain pada malam tadi ( Jumaat).
“ situasi ini disebabkan kami terpaksa menghentikan latihan selama lebih kurang tiga minggu selain ada pemain kami yang baru lima hari menjalani latihan,” katanya
Beliau ditemui pemberita semasa kunjungan santai ke Booth Pameran dan Kaunter Pendaftaran GPS sempena Program Ambang Kemerdekaan Tahun 2020 di Pasar Malam Metrocity Matang, di sini, baru-baru ini.
“Oleh itu, disebabkan situasi dan cabaran masa yang amat singkat dihadapi oleh kita terutamanya berkaitan latihan dan persediaan perlawanan maka keadaan ini pastinya kelebihan berpihak kepada pasukan Selangor FA II dan ini jelas terpamer dalam aksi kita malam tadi (Jumaat) ,” jelasnya,
Kata Fazzrudin, pihaknya terpaksa mengatur strategi latihan yang baharu bagi memastikan pasukan itu cukup bersedia untuk menghadapi dan memberikan saingan kepada pasukan lain dalam kancah Liga perdana pada masa hadapan.
Mengulas perancangan untuk memantapkan pasukan, beliau berkata perkara itu bergantung dengan pasukan lawan yang dihadapi serta situasi semasa tahap kecerdasan pemain Kuching City FC
“Macam saingan malam tadi (Jumaat), empat tonggak utama kami mengalami kecederaan dan itu menambahkan lagi cabaran untuk pasukan kami .
“Jadi sekarang , amat perlu untuk kita menyusun semula strategi untuk memastikan kami mampu memberikan cabaran pada perlawanan seterusnya dan pada masa sama dapat mengumpul mata untuk pasukan,” katanya.
Oleh Cheryl Law