KUCHING, 18 November: Aspek keselamatan, kawalan trafik dan penugasan anggota polis menjadi antara tumpuan persiapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ketua Polis Padawan, Supt Barry William berkata, pemeriksaan di beberapa lokasi yang ditetapkan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi dijalankan bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Menurutnya, pemeriksaan itu turut membolehkan pihak polis menilai keadaan fizikal setiap lokasi serta mengenal pasti keperluan anggota dan operasi bagi memastikan keselamatan calon, penyokong parti politik serta orang awam.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk kawalan keselamatan di laluan masuk dan keluar, penugasan anggota polis, pengurusan trafik serta kemungkinan berlaku kesesakan di sekitar lokasi berkenaan.
Lawatan kerja yang diketuai Barry dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari hari ini melibatkan beberapa lokasi di bawah bidang kuasa IPD Padawan.
Lokasi pertama ialah Pejabat Daerah Siburan yang akan dijadikan pusat penamaan calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong (N.19), manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siburan ditetapkan sebagai pusat penjumlahan undi bagi kawasan sama.


BARRY bersama pegawai polis dan wakil Majlis Perbandaran Padawan ketika mengadakan lawatan kerja bagi meninjau persiapan lokasi penamaan calon dan penjumlahan undi PRN Sarawak ke-13.
Rombongan turut meninjau premis Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang akan berfungsi sebagai pusat penamaan calon bagi DUN Batu Kitang (N.13) dan Batu Kawa (N.14), selain menjadi pusat penjumlahan undi bagi Batu Kitang.
Selain itu, Perpustakaan Kota Sentosa akan dijadikan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi bagi DUN Kota Sentosa (N.12), manakala Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho ditetapkan sebagai pusat penjumlahan undi bagi DUN Batu Kawa (N.14).
Lawatan itu turut disertai pegawai dari IPD Padawan, Pejabat Daerah Siburan dan MPP.
Antara yang mengiringi Barry ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Dr Daram Ruer, Ketua Cawangan Khas Padawan ASP Syed Muzzafar Syed Anuar, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Trafik Padawan ASP Manja Ungkar, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Padawan ASP Stephen Buda Kiding, Ketua Balai Polis Kota Sentosa ASP Rudy Garit Gingkoi dan Ketua Balai Polis Batu Kawa ASP Muhammad Yarshar Abdullah.
Turut menyertai rombongan ialah Ketua Balai Polis Siburan SM A Ramlee Bunsin, Ketua Balai Polis Batu 10 SM Siti Mariam Abd Hamid, Setiausaha MPP Ir Ts Goh Thiam Ho dan Pegawai Tadbir MPP Tay Guan Huat.
Oleh Connie Chieng




