Pelantikan sebagai Profesor Adjung Tersohor UPSI amanah besar – Syafinaz

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan guru vokal terkenal tanah air Datuk Syafinaz Selamat menyifatkan pelantikannya sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebagai satu amanah besar untuk terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan muzik negara.

Beliau berkata pelantikan berkuat kuasa dari 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028 itu bukan sekadar gelaran, sebaliknya membuka ruang untuknya terus menyebarkan ilmu, membina bakat dan meninggalkan legasi yang lebih besar.

“Dilantik sebagai Profesor Adjung buat kali pertama merupakan satu penghormatan, manakala kali kedua ialah amanah yang besar. Ia mengingatkan saya bahawa kepercayaan bukan diberi sekali tetapi perlu terus dibuktikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Syafinaz dilantik sebagai Profesor Adjung di FMSP UPSI bagi tempoh setahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026, sebagai antara usaha universiti memperkukuh hubungan antara dunia akademik dengan industri muzik.

PELANTIKAN Profesor Adjung Tersohor buka ruang Syafinaz perkasa pendidikan muzik.

Syafinaz berkata antara fokus utama beliau ialah memperkukuh pendidikan muzik, khususnya dalam bidang vokal dengan menjadikannya satu disiplin ilmu berasaskan penyelidikan, pedagogi dan sains suara.

“Bagi saya, vokal bukan sekadar kebolehan menyanyi tetapi satu proses membentuk kreativiti, komunikasi, disiplin dan jati diri seseorang. Sebab itu, guru muzik perlu dilengkapi ilmu supaya mereka bukan sahaja mampu melahirkan penyanyi yang baik tetapi juga individu yang memahami seni secara menyeluruh,” katanya.

Beliau percaya pendidikan muzik yang berkualiti mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang muzik sebagai satu kerjaya profesional.

Syafinaz berkata apabila kerjaya muzik dibina berasaskan ilmu, profesionalisme dan integriti, bidang itu akan lebih dihormati, disegani serta diiktiraf sebagai profesion yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan budaya, pendidikan dan negara.

Dalam pada itu, Syafinaz berkata beliau akan meneruskan penganjuran siri bengkel dan seminar secara lebih tersusun sebagai kesinambungan kepada program yang pernah dilaksanakan sebelum ini. – Bernama