MIRI: Seramai 101 kru pelantar minyak laut dalam Velesto Naga 7 berdepan detik cemas apabila pelantar tersebut tenggelam dalam kejadian di perairan Bintulu-Miri, pada Isnin lalu.
ConocoPhillips Sarawak Ltd dalam satu kenyataan memberitahu kejadian itu berlaku sekitar 2.45 petang ketika ia melakukan kerja penggerudian (telaga minyak) di blok Salam 3.
Pelantar berkenaan terletak kira-kira 120 batu nautika dari pantai Bintulu dan sekitar 135 batu nautika dari Miri.
“Pasukan Tindakan Kecemasan kami telah digerakkan (ke Naga 7) dan pihak berkuasa lain yang berkaitan juga dimaklumkan.
“Keutamaan dan perhatian utama kami adalah keselamatan kru dan mengesahkan bahawa semua pekerja telah dipindahkan dari Naga 7.
“Tidak ada kecederaan atau kerosakan persekitaran yang diketahui,” katanya dalam satu kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pihaknya menekankan bahawa keutamaan mereka tetap pada keselamatan orang dan alam sekitar.
Pada masa sama, punca dan nilai kerosakan sedang disiasat.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, mengesahkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Kesemua 101 kru terbabit dibawa ke Pusat Transit Luar Persisir (OTC) Miri dan diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari,” ujarnya.
Oleh LIONG CHAI LING