Pelancaran portal Rakyat Digital baharu perkukuh komitmen ke arah negara AI menjelang 2030

Facebook
WhatsApp
PORTAL Rakyat Digital

KUALA LUMPUR: Pelancaran portal Rakyat Digital baharu hari ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat Malaysia bersedia menghadapi masa depan berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam kenyataan berkata selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030, kerajaan perlu memastikan setiap rakyat berpeluang membina kemahiran, keyakinan dan keupayaan yang diperlukan.

“Dengan menggabungkan akses kepada alatan AI bersama dengan pembelajaran berstruktur, ia mewujudkan laluan bagi lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia membangunkan kemahiran AI praktikal, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta menyumbang secara bermakna kepada ekonomi digital,” katanya.  

Sementara itu, Kementerian Digital memaklumkan portal Rakyat Digital adalah hab pembelajaran digital Malaysia yang dibangunkan kementerian dengan kerjasama MyDIGITAL Corporation.

Portal itu bertujuan memperluas pengalaman pengguna dengan menyatukan pelbagai inisiatif digital dalam satu akaun tunggal, sekali gus memperkasakan rakyat Malaysia menerusi pengetahuan, kemahiran dan alat digital yang diperlukan untuk terus maju dalam ekonomi digital. 

Portal itu digerakkan menerusi pendekatan 3A, kesedaran (awareness), iaitu membina asas literasi digital dan kesedaran AI menerusi Hab Literasi Digital dan akses (access) menghubungkan rakyat kepada peluang pembelajaran, kemahiran masa hadapan dan persijilan diiktiraf melalui Hab Kemahiran Digital.

Pendekatan terakhir iaitu penerimagunaan (adoption) menggalakkan aplikasi praktikal menerusi Hab Pembina AI, Hab Alat Digital dan program penilaian keupayaan.

“Inisiatif ini dilaksanakan menggunakan pendekatan seluruh negara berasaskan kerjasama kerajaan, industri, sektor akademik, masyarakat umum dan rakan komuniti serta pembangunan bakat.

“Langkah inklusif ini bertujuan memastikan jangkauan merangkumi komuniti luar bandar, warga emas, belia, komuniti kurang upaya serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar tiada yang terpinggir,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan perjalanan Malaysia menuju Negara AI 2030 berteraskan empat ciri utama, iaitu AI sebagai asas teknologi, data dan aset digital bernilai boleh diprogramkan, sistem autonomi pintar terhubung tinggi serta masyarakat berteraskan teknologi.

Bagi mencapai visi itu, tumpuan khusus diberikan kepada dua teras strategik Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030).

Selain itu, Kementerian Digital memaklumkan menerusi Pas Pembelajaran Global, kerajaan turut menawarkan akses percuma selama tiga bulan kepada platform pembelajaran dalam talian terkemuka Coursera khusus kepada 100,000 rakyat Malaysia.

Pelaksanaan inisiatif itu dibahagikan kepada empat kohort melibatkan 25,000 peserta kohort pertama yang bermula 16 September dengan pendaftaran kini dibuka menerusi portal www.rakyatdigital.gov.my.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Julai berkata kerajaan akan menawarkan akses dan langganan perisian AI secara percuma selama tiga bulan kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun yang berjaya melengkapkan modul kursus di bawah platform Rakyat Digital. – Bernama