SARIKEI: Program Pembangunan dan Pendidikan Komuniti di Kampung Seberang yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Sarikei (MDS) memanfaatkan para penduduk setempat, kata Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.
Menurut beliau, memlalui program sebegini, penduduk tempatan dapat memperoleh pelbagai informasi berfaedah dari agensi-agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang sememangnya dengan tujuan untuk memperkasakan komuniti setempat terutama sekali dalam situasi kini sedang menghadapi wabak pandemik Covid-19.
“Kerajaan kini dalam usaha memperkasakan rakyat dengan segala informasi yang perlu agar kita dapat sama-sama meratakan kembali lengkungan jangkitan Covid-19 kali ini dan sekali gus membendung daripada wabak ini menular di dalam komuniti kita seperti slogan yang selalu disebut kita iaitu #kitajagakita.
“Selain informasi berkenaan Covid-19 daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, saya percaya bahawa peserta program ini juga telah dimanfaatkan dengan pelbagai informasi lain daripada agensi-agensi kerajaan terutamanya berkenaan kebersihan dan kesihatan awam oleh Majlis Daerah Sarikei, bahaya jangkitan penyakit berjangkit seperti rabies oleh Pejabat Veterinar Bahagian Sarikei, hak-hak kepenggunaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sarikei, gejala-gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan substance oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak Daerah Sarikei, keselamatan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarikei serta keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Pembangunan dan Pendidikan Komuniti di Kampung Seberang di Dewan Perpaduan Kampung Seberang, petang kelmarin.
Tambahnya, di samping itu, agensi-agensi terlibat juga telah mengadakan pameran berkaitan dengan perkhidmatan agensi masing-masing untuk mendekatkan lagi perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada keseluruhan Jawatankuasa Penganjuran Program Pembangunan dan Pendidikan Komuniti di Kampung Seberang di atas kejayaan penganjuran program ini.
“Diharapkan agar usaha MDS ini tidak sia-sia dan segala pengetahuan yang telah dikongsikan dapat dimanfaatkan oleh para peserta,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, pemimpin di peringkat akar umbi perlu memainkan peranan dengan lebih proaktif dalam menyampaikan dasar serta perancangan yang dibuat oleh kerajaan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Oleh itu, inilah tujuan pelbagai program dianjurkan oleh kerajaan supaya maklumat yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan dapat dikongsikan oleh pemimpin peringkat akar umbi kepada rakyat,” katanya lagi.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program berlangsung dari pagi hingga petang kelmarin.
Antaranya ceramah dari agensi-agensi kerajaan serta pertandingan mewarna kategori veteran dan kategori ahli MDS.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MDS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Program Pembangunan dan Pendidikan Komuniti Kampung Seberang, Kaunselor Misiah Abu Seman, Setiausaha MDS, Sait Enggang dan Temenggong Bahagian Sarikei, Awangku Ibrahim Awangku Hosain.
Oleh Earl Anek