Pelakon Jepun Keiko Kishi meninggal dunia pada usia 93 tahun

Facebook
WhatsApp
PELAKON Jepun Keiko Kishi meninggal dunia pada usia 93 tahun akibat faktor usia pada 7 Ogos.

TOKYO: Pelakon Jepun Keiko Kishi, yang meraih pengiktirafan di dalam dan luar negara menerusi lakonannya sejak 1950-an sebelum menceburi penulisan esei pada 1980-an, meninggal dunia akibat faktor usia pada 7 Ogos, menurut pejabatnya pada Rabu. Beliau berusia 93 tahun, lapor Kyodo News.

Kishi mencetuskan fenomena di Jepun selepas Perang Dunia Kedua apabila ramai wanita meniru gaya beliau melilit selendang di kepala menerusi sebuah siri filem popular.

Anak kelahiran Yokohama itu kemudian berpindah ke Paris selepas berkahwin dengan pengarah filem Perancis Yves Ciampi, beberapa tahun sebelum sekatan perjalanan ke luar negara dilonggarkan di Jepun.

Kishi memulakan kerjaya lakonan pada 1951 dan pantas mencipta nama menerusi watak Machiko, heroin dalam trilogi “Kimi no Na wa” (What is your name?).

Siri itu mencetuskan trend fesyen pemakaian selendang yang dikenali sebagai “Machiko maki”.

Beliau turut membintangi filem Perancis-Jepun “Typhoon over Nagasaki” pada 1956 yang diarahkan Ciampi.

Sepanjang kerjayanya, Kishi membawakan pelbagai watak termasuk dalam drama zaman silam dan filem romantik, sambil membahagikan kerjayanya antara Perancis dan Jepun.

Beliau juga muncul dalam filem drama Amerika Syarikat “The Yakuza” pada 1974.

Selain berlakon, Kishi menghasilkan beberapa karya esei termasuk “Apple of Belarus” yang memenangi Anugerah Kelab Penulis Esei Jepun.

Kishi turut berkhidmat sebagai duta Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) sejak 1996.- Bernama-Kyodo