BAHASA ISYARAT… Datuk Rosey Yunus mencuba Bahasa Isyarat bersama para peserta Program Kursus Bahasa
Isyarat Zon Utara 2022 di Miri, semalam.
MIRI: Program Kursus Bahasa Isyarat Zon Utara 2022 anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri penting bagi mengalakkan peserta berkomunikasi dengan mereka yang mempunyai masalah pendengaran dengan menggunakan Bahasa Isyarat yang efektif dan betul.
Program ini dianjurkan untuk kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan merupakan latihan pembangunan kapasiti sosial yang bertujuan memberi latihan dan panduan asas tentang cara-cara menggunakan Bahasa Isyarat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak), Datuk Rosey Yunus berkata demikian pada majlis penutupan kursus itu di salah sebuah hotel di sini, semalam.
Katanya, kursus ini juga meningkatkan kemahiran pegawai kakitangan JKMS dan petugas Pertubuhan Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) dalam berkomunikasi dengan golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran serta dapat menyantuni golongan ini dengan baik.
“Para peserta kursus dapat mempelajari teknik berkomunikasi dengan lebih efektif agar dapat berinteraksi dengan lebih baik bersama OKU pendengaran di dalam komuniti.
“Tahniah dan syabas kepada para peserta yang telah menyertai Program Kursus Bahasa Isyarat Zon Utara 2022 yang bermula pada 21 hingga 22 Ogos ini,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, para ibu bapa juga dinasihatkan supaya memantau kesihatan anak-anak dan rujuk klinik berdekatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
“Pemeriksaan kesihatan terhadap kanak-kanak kecil penting untuk memastikan kesihatan mereka. Jika kanak-kanak didapati mempunyai masalah kesihatan seperti pendengaran,ia akan memudahkan rawatan di peringkat awal,” ujarnya.
Kursus itu disertai 55 peserta dari JKMS Bahagian Miri, Bintulu, Limbang, Lawas, PPDK Miri, Sunflower, Morsjaya, Bekenu, Batu Niah, Eda Beran, Gemilang, Bintulu, Sinaran Kasih Tatau, Limbang dan Lawas.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad, Penyelaras Seksyen Khidmat Sokongan Sosial Awang Abdul Hamid Awang Ibrahim dan Tenaga Pengajar Bahasa Isyarat Malaysia Victor Hui Lik Nguong.
Oleh ADUM LIU