SIBU: Kerajaan Sarawak hari ini menandakan pencapaian penting dalam usaha berterusannya untuk menyokong kemajuan pendidikan dengan menganugerahkan baucar komputer riba bernilai RM3,000 setiap seorang kepada 48 pelajar anak Sarawak.
Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat (MEITD) menyatakan inisiatif ini bertujuan meningkatkan literasi digital dan akses teknologi bagi pelajar di seluruh negeri.
“Inisiatif ini, yang diketuai oleh MEITD, adalah sebahagian daripada usaha lebih besar kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang digital serta membekalkan pelajar dengan peralatan yang diperlukan untuk kejayaan akademik dan inovasi dalam era digital.
“Ini selaras dengan visi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju dari segi teknologi dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis penyerahan simbolik telah diadakan di Stadium Tertutup Sibu yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee yang mewakili Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Turut hadir ialah ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi; ADUN Opar, Billy Sujang; Residen Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman; Timbalan Setiausaha Tetap MEITD, Anielia Siam; Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang; Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid; dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Mohammed Abdullah Izkandar Roseley.
MEITD turut memaklumkan bahawa inisiatif Laptop Percuma ini telah menarik sejumlah 17,832 permohonan, mencerminkan keperluan mendesak bagi program sedemikian untuk meningkatkan akses pendidikan kepada anak Sarawak.
Para penerima pada hari ini, yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi dari zon Tengah Sarawak, merupakan kumpulan pertama yang menerima baucar ini untuk membantu mereka dalam usaha akademik.
“Majlis ini adalah manifestasi kuat terhadap visi Sarawak untuk masa depan, di mana pendidikan, inovasi, dan teknologi bersatu untuk membina masa depan yang lebih cerah bagi golongan muda di negeri ini,” katanya.
MEITD menyatakan dedikasi mereka untuk memacu kecemerlangan pendidikan serta memupuk inovasi di Sarawak.
Menerusi inisiatif dan kerjasama strategik, kementerian berusaha memastikan tenaga kerja masa depan Sarawak dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan, dan peralatan untuk berjaya dalam dunia yang berubah dengan pesat.
Oleh TARANI LANTING