KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) yang meletakkan bayi yang baru dilahirkan ke dalam kotak bijirin sejurus selepas kelahiran pada Mac tahun ini dan menyembunyikan kotak itu dalam sebuah beg pakaian, telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun.
Mahkamah Mahkota Warwick menjatuhkan hukuman ke atas Jia Xin Teo, 22, pada Jumaat (25 Okt) selepas disabitkan atas kesalahan membunuh, menurut kemas kini terbaharu di laman sesawang Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota UK (CPS).
Terdahulu, Bernama melaporkan mahkamah mendapati Teo bersalah pada Khamis (24 Okt).
Teo, seorang penduduk Coventry yang tiba di UK awal tahun ini untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Coventry, menyembunyikan kehamilannya dan melahirkan bayi pada 4 Mac.
Dia kemudian meletakkan bayi yang baru lahir itu ke dalam kotak bijirin, yang dimasukkan ke dalam beg plastik dan disimpan dalam sebuah beg pakaian.
Polis menemui bayi berkenaan dua hari kemudian, di mana ketika itu bayi itu telah meninggal dunia.
Teo menafikan membunuh bayinya, mendakwa dia mendengar suara yang mengarahkannya untuk membunuh anak tersebut.
Namun, juri menolak pembelaannya dan mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh.
James Leslie Francis daripada CPS berkata, “Jia Xin Teo menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenali dan tiba di UK dengan mengetahui bahawa dia mungkin akan melahirkan bayi itu di sini.
“Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan tetapi sebaliknya memilih untuk merahsiakannya, malah sanggup berbohong kepada orang yang rapat dengannya, kepada penyedia penjagaan kesihatan, dan kepada polis.”
Francis menambah, “Bayi Teo masih hidup selepas dilahirkan dan boleh bertahan, tetapi Jia Xin Teo membuat keputusan untuk meletakkannya di dalam kotak bijirin, dengan mengetahui bahawa tindakan itu akan membunuhnya.”– BERNAMA