SIMANGGANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman (JPBBSA) semalam mengeluarkan arahan baharu kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam serta Swasta di daerah itu dan daerah Lubok Antu.
Arahan itu dikhususkan kepada mereka yang telah pulang ke rumah masing-masing sebelum 1 Mei lepas dan masih belum membuat saringan Covid-19 ketika itu.
Kenyataan media semalam memberitahu arahan tersebut dikeluarkan setelah merujuk arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pada 27 Mei lepas.
“Pelajar tersebut dikehendaki menghubungi Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman di talian 083-320230 jika mereka telah pulang ke rumah sebelum tarikh berkenaan dan belum membuat saringan Covid-19.
“Sila patuhi arahan lanjut daripada Pejabat Kesihatan berhubung perkara ini. Kerjasama daripada anda (pelajar) semua amatlah kehendaki demi sama-sama memutuskan rantaian Covid-19 di sini,” kata kenyataan tersebut.