BETONG: Pekerja sebuah syarikat penyedia logistik antarabangsa ekspres di Pekan Spaoh di sini gempar setelah seekor biawak gergasi berkelakuan agak agresif ‘menceroboh’ premis mereka, petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pencerobohan biawak gergasi itu pada 4.20 petang.
“Seorang pengadu iaitu Lisa telah menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Spaoh untuk memohon pertolongan bagi menangkap haiwan liar itu dalam kadar segera.
“Bertindak atas panggilan, pihak kami segera mengerah tiga petugas APM Spaoh iaitu PBT (PA) Ahmad Zulfakar Ramlan, PBT (PA) Augustine Dris Jabat dan PBT (PA) Mohd Firdaus Lihi ke lokasi untuk melakukan kerja menangkap haiwan itu,” katanya.
Setibanya di premis berkenaan, semua petugas kata Siti terus bertindak mengesan kedudukan biawak gergasi tersebut dengan haiwan liar itu berjaya ditangkap menerusi teknik menjerut.
Biawak gergasi berkenaan kata beliau dibawa pulang ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) agensi mereka di sini dan akan dilepaskan ke habitat asal setelah penemuannya dilapor kepada pihak Jabatan Perhilitan.
“Orang ramai di kawasan Spaoh, Betong boleh menghubungi kami di talian 083-473006 jika mengesan kehadiran haiwan liar di kediaman mereka bagi tujuan tindakan lanjut,” kata Siti.
Sementara itu, dalam kalangan masyarakat Iban, biawak berkenaan bukan biawak biasa, sebaliknya dipanggil ‘bandau’, dengan saiznya mampu mencecah antara dua hingga tiga meter selain memiliki gigitan berbisa.
Oleh Valentine Ngumbang