SIBU: Polis Kontinjen Sarawak mengadakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang terakhir di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini hari ini.
Mendahului senarai 203 penerima ialah bekas Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 (BN 12) Miri, Asisten Komisioner Polis (Bersara), Fauzi Saadi Diol yang kini berumur 73 tahun.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata menerusi siaran media berkata, seramai 121 pesara atau bekas polis menerima sendiri pingat tersebut manakala 82 orang diwakili oleh waris mereka.
“PJPN Siri 5/2024 ini merupakan majlis penganugerahan terakhir yang akan dijalankan secara istiadat.
“Sejak 2014, PDRM Kontinjen Sarawak telah mengadakan istiadat penganugerahan PJPN ini sebanyak 17 siri secara istiadat dan lima kali tanpa istiadat dengan keseluruhan jumlah penerima seramai 2,517 orang,” katanya.
Beliau berkata seramai 1,218 pesara atau bekas polis Kontinjen Sarawak yang layak masih belum dianugerahkan PJPN.
“Ada di kalangan mereka menolak untuk hadir istiadat penganugerahan akibat kekangan kesihatan dan lain-lain sebab.
“Baki yang layak menerima ini akan disampaikan secara tanpa istiadat,” katanya.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak akan memperturunkan kuasa kepada Ketua Polis Daerah untuk menyampaikan pingat tanpa istiadat di IPD masing-masing atau disampaikan di rumah pesara yang berkenaan.
PJPN dianugerahkan kepada petugas PDRM bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 21 julai 1960.
Ini termasuk juga pada era komunis pada 17 jun 1968 hingga 2 Disember 1989 di negara ini serta di Sabah dan Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990 yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat.
Oleh AKUN GIMAN