PGA Briged Sarawak catat 29 kejayaan operasi, rampasan RM84.42 juta

Facebook
WhatsApp
BARANGAN yang dirampas oleh PGA.

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merekodkan 29 kejayaan operasi sepanjang 14 hingga 30 September lalu, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM84.42 juta.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, operasi menerusi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Chiller, Op Taring Libas dan Op Taring Mitra menyaksikan penahanan 41 individu, terdiri daripada 30 warga tempatan dan 11 warga asing.

Menurutnya, kes berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras yang belum diluluskan cukai kastam, penyelewengan minyak diesel bersubsidi, penyeludupan barang kawalan dan produk sejuk beku, pengumpulan serta pemprosesan kayu tanpa permit, kesalahan imigresen dan dadah serta aktiviti memproses dan menjual air ketum.

SAC Datuk Lim Bak Phai.

“Nilai rampasan terbesar direkodkan menerusi Op Taring Libas dengan tiga kejayaan di Tatau, Kuching dan Betong melibatkan aktiviti pengumpulan serta pemprosesan kayu tanpa permit yang sah.

“Rampasan terdiri daripada kayu balak dan kayu yang telah diproses, minyak diesel, tangki skid, jentera berat, jentera pengangkat, lori serta pelbagai peralatan dan mesin pemprosesan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM76.83 juta,” katanya hari ini.

Bagi Op Taring Bravo, satu kejayaan di Sri Aman membabitkan aktiviti penyelewengan minyak diesel, dengan rampasan 4,000 liter diesel, sebuah tangki skid, empat jentera berat dan sebuah lori bernilai kira-kira RM3.79 juta.

Sementara itu, Op Taring Batas/Awas merekodkan lapan kejayaan di Sri Aman, Lundu, Lawas, Serian dan Bau melibatkan kesalahan imigresen dan dadah, penyelewengan minyak bersubsidi, pengumpulan serta pemprosesan kayu gaharu tanpa permit, selain cubaan menyeludup gula kasar dan produk sejuk beku tanpa permit yang sah.

Keseluruhan rampasan dalam operasi berkenaan dianggarkan bernilai RM2.18 juta.

Lim berkata, Op Taring Alpha pula merekodkan 13 kejayaan di Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Sibu dan Miri melibatkan aktiviti penyimpanan serta penjualan rokok dan minuman keras yang belum diluluskan cukai Kastam.

“Operasi tersebut membawa kepada rampasan 2,950 karton pelbagai jenis rokok, lebih 9,500 liter minuman keras serta sebuah kenderaan, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.46 juta,” katanya.

Bagi Op Taring Chiller, tiga kejayaan direkodkan di Miri membabitkan aktiviti penyimpanan dan pengedaran produk ayam serta daging sejuk beku tanpa permit yang sah.

Sebanyak 2,826 kilogram produk sejuk beku bernilai kira-kira RM158,995 dirampas.

Menerusi Op Taring Mitra pula, satu kejayaan di Kuching membongkar aktiviti memproses dan menjual air ketum, membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan.

Turut dirampas ialah 15 kilogram daun ketum, 138 botol air ketum, tiga tong gas, dua telefon bimbit, wang tunai RM1,042 serta pelbagai peralatan memproses, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,849.

“Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Lim berkata Briged Sarawak PGA akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang serta melindungi keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan Sarawak.

Oleh Connie Chieng

Donuf sasar 100 cawangan menjelang 2029

JOHOR BAHRU: Pengasas Donuf, produk gabungan donat dan pastri berkrim (creampuff) rangup, menyasarkan membuka 100 cawangan di seluruh negara menjelang