
LAWAS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas menganjurkan program sembahyang agama Kristian sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026 di Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Long Tuan, Trusan, di sini baru-baru ini.
Program tahunan itu melibatkan penyertaan pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, pegawai awam polis, ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Lawas serta ahli keluarga warga IPD Lawas yang beragama Kristian dan agama lain.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan mengetuai rombongan PDRM Lawas yang terlebih dahulu mengadakan kunjungan ke kediaman rasmi Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong di Kampung Long Tuan.
Ketibaan rombongan itu disambut mesra oleh Henry yang turut menyaksikan persembahan tarian kebudayaan serta paluan gendang tradisional masyarakat Lun Bawang yang dikenali sebagai ‘peritubang’.
Rombongan PDRM Lawas turut berkesempatan melawat galeri koleksi peribadi Henry Sum Agong yang terletak bersebelahan kediamannya sebelum bergerak ke Gereja BEM Long Tuan bersama Ahli Parlimen Lawas itu.

Ketibaan rombongan di gereja berkenaan disambut dengan persembahan tarian kebudayaan masyarakat Lun Bawang sebelum mereka beramah mesra dan bersalaman bersama jemaah gereja.
Pihak Gereja BEM Long Tuan menyambut baik kehadiran PDRM Lawas bagi bersama-sama menunaikan sembahyang sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026.
Kehadiran rombongan PDRM itu merupakan yang pertama kali diadakan di gereja berkenaan dan pihak gereja mengalu-alukan kunjungan sedemikian pada masa akan datang.
DSP Liong berkata, objektif program itu adalah untuk memohon keberkatan serta mendoakan agar warga PDRM dan keluarga sentiasa berada dalam perlindungan serta mendapat keberkatan Tuhan.
“PDRM amat berterima kasih kepada masyarakat atas segala sokongan dan kerjasama yang diberikan selama ini. Jalinan erat antara masyarakat termasuk pihak gereja amat penting dalam usaha mencegah kejadian jenayah di kawasan setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Henry turut menggesa masyarakat supaya terus memberikan kerjasama kepada pihak polis serta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah sekiranya berlaku di kawasan masing-masing
Beliau berkata, aspek keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam merupakan tanggungjawab bersama.
Program diteruskan dengan upacara sembahyang dan jamuan makan tengah hari di Gereja BEM Long Tuan.
Program berkenaan mendapat sambutan positif daripada masyarakat yang melihat kehadiran PDRM di Kampung Long Tuan sebagai bukti komitmen pasukan keselamatan untuk sentiasa bersama rakyat bukan sahaja di kawasan bandar, malah di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pihak polis turut merancang meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang selaras dengan pendekatan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Oleh Adeng Edrus



