PDRM, Dream Film angkat isu buli menerusi filem ’Is Not A Joke’

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar (dua, kiri) bersama Pengarah Filem Captain Denil Choong Lin Loong (tiga, kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Peluncuran Trailer Filem 'Is Not A Joke' di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan kolaborasi dengan Dream Film Sdn Bhd bagi menghasilkan filem Is Not A Joke yang mengangkat isu buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata filem itu merupakan usaha advokasi bagi menyampaikan mesej bahawa buli bukan perkara yang boleh dipandang ringan, selain menggalakkan masyarakat tampil melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata trend kes buli di institusi pendidikan menunjukkan peningkatan pada tahun ini dan perkara itu perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

“Jadi kita membuat keputusan untuk sama-sama membantu serta mengambil tindakan bagi memastikan elemen dan isu buli ini tidak wujud sama sekali di tanah air kita,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran treler filem itu di Dewan Pusat Latihan Polis di sini hari ini.

Kumar berkata PDRM dan Dream Film juga menyasarkan menayangkan filem itu di 100 institusi pendidikan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda mengenai bahaya buli.

Dalam pada itu, pengarah filem berkenaan Choong Lin Loong berkata idea menghasilkan filem berkenaan tercetus susulan peningkatan kes buli di sekolah, selain pihaknya mendapati alasan “saya bergurau” atau “I’m just joking” sering digunakan bagi meremehkan kejadian buli.

Beliau berkata pada awalnya pihaknya merancang menghasilkan filem aksi polis berkaitan penipuan pelaburan sebagai filem kedua selepas filem antipenipuan Oppa yang diterbitkan pada 2024.

“Selepas filem Oppa, sebenarnya kami merancang untuk menghasilkan filem aksi polis mengenai penipuan pelaburan. Namun, tahun lepas berlaku peningkatan kes buli di sekolah.

“Jadi, saya maklumkan kepada pihak polis, mengapa kita tidak fokus kepada isu buli dahulu. Mereka (PDRM) bersetuju dan kami menghasilkan filem antibuli ini,” katanya.

Choong berkata filem itu yang turut menampilkan anggota polis sebenar dijangka ditayangkan pada hujung tahun ini.

– Bernama