PUTRAJAYA: Parti Cinta Malaysia (PCM) semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berkenaan pendedahan 101 projek perolehan bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden PCM R. Muralitharan berkata, SPRM perlu menjalankan siasatan salah laku dan salah guna kuasa oleh bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana rundingan terus itu diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
SPRM juga digesa menyiasat prosedur kelulusan dan kelayakan syarikat terbabit dalam melaksanakan projek berkenaan, katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM, di sini semalam.
Isnin lepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat mengenai 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus yang diluluskan oleh PH sepanjang 22 bulan mentadbir negara.
Jurucakap SPRM ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.- Bernama