FAIZAL BUJANG
TUAN rumah ‘Bahagian Limbang’ siap sedia menghadapi kemungkinan berlaku penangguhan kejohanan berprestij anjuran Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) iaitu Piala Sarawak 2020 ke satu tarikh bahari.
Itupun seandainya badan induk berkenaan (FAS) mengarah untuk berbuat demikian demi keselamatan semua pihak berikutan kebimbangan penularan virus Covid-19 yang melanda negara serta dunia ketika ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang (PBBL), Abdul Ajis Kon Mohamad Ghazali Ismail memberitahu, pihaknya siap sedia menghadapi kemungkinan jika ada arahan untuk menangguh kejohanan berprestij itu.
“Tiada masalah bagi kita sekiranya ada arahan untuk menangguh kejohanan Piala Sarawak 2020.
“Lagipun, kita tahu situasi semasa negara ketika ini masih belum selamat dan jika ditangguh ia adalah langkah terbaik,” ujar beliau.
Menurut Abdul Ajis, tarikh untuk penganjuran kejohanan itu masih belum dimuktamadkan lagi walaupun Bahagian Limbang telah diberi mandat untuk menjadi tuan rumah.
Ini kerana katanya, mesyuarat khas pihaknya (PBBL) dan badan induk tertinggi FAS yang sepatutnya berlangsung hujung bulan Mac lalu bagi menetapkan tarikh tersebut terpaksa ditangguh selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita berharap situasi akan kembali pulih sepenuhnya sekali gus membolehkan mesyuarat tersebut dilangsungkan,” tambah beliau lagi.
Perancangan awal FAS yang mahu penganjuran Piala Sarawak 2020 berlangsung hujung tahun.