KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mengamalkan politik kebencian sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Sarawak ke tahap lebih tinggi.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia bukan omongan kosong kerana setiap kali pilihan raya calon PBB tidak memburuk-burukkan pihak lawan memandangkan iklim politik negeri ini amat berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
“Fokus utama kita adalah membawa lebih banyak pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya. Kita tidak mahu membenci sesiapa sahaja sebaliknya tumpuan terus diberikan kepada usaha membangunkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Randau GPS-PBB DUN Pantai Damai di Kampung Pulo Ulu semalam.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, sebagai parti teras kepada Kerajaan Sarawak, PBB di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus menjadi pembela kepada rakyat negeri ini dengan dibantu parti komponen lain.
“Kita berjuang untuk kemakmuran negeri ini. Ini kerana hanya parti anak tempatan sahaja yang memahami denyut nadi rakyat negeri ini,” ujarnya.
Sehubungan itu menurutnya, PBB disetiap peringkat perlu memperkemaskan jentera untuk melakar keputusan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.
“Kerjasama merupakan asas kepada kekuatan sesebuah parti. Tidak kira kita pemimpin peringkat cawangan atau ranting, kerjasama erat antara kita perlu sentiasa dieratkan.
“Kita di Pantai Damai melakar keputusan cemerlang pada pilihan raya sebelum ini turut disumbangkan kerjasama erat antara jentera cawangan dan ranting,” jelasnya.
Beliau turut menasihati jentera PBB di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai supaya tidak bersikap sambil lewa selepas keputusan cemerlang diraih pada pilihan raya sebelum ini.
“Kita tetap masih perlu bekerja keras memandangkan setiap ahli jentera mempunyai tugasan masing-masing. Laksanakan tugas kita dengan sebaik mungkin.
“Tanpa kerja keras dan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, sukar untuk kita melakar keputusan cemerlang,” kata Dr Abdul Rahman.
Hadir sama, Timbalan Ketua PBB Cawangan Pantai Damai Drahman Jaladin, Setiausaha PBB Cawangan Pantai Damai Merdehi Mas, Timbalan Ketua Wanita PBB Cawangan Pantai Damai Dayang Nora Awang Sabudin, Ketua Pemuda PBB Cawangan Pantai Damai Sebeki Jen dan Ketua Pusat Tempat Mengundi Al Falah yang juga Ketua Ranting PBB Pulo Ulu Bujang Mohamad.
Oleh Diyana Samsuddin