KUALA LUMPUR: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak bercadang meninggalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kembali bersama Barisan Nasional (BN), menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata parti-parti komponen dalam GPS bagaimanapun akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan BN dan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) dalam membangunkan Sarawak.
Menteri Kanan Kerja Raya itu berkata, GPS mengamalkan pendekatan mesra Kerajaan Persekutuan dan bekerjasama erat sejak gabungan itu ditubuhkan dan PBB keluar dari BN.
“Sekarang ini pun kita bekerjasama erat dengan Perikatan Nasional dan Perikatan Nasional adalah gabungan dari Ahli-Ahli Parlimen Bersatu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan juga komponen BN yang lain.
“Bagi PBB, apa yang penting ialah kita nak fokuskan kepada usaha membangunkan Sarawak dan mengembalikan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ini keutamaan PBB,” katanya ketika menjawab soalan pemberita mengenai perkara berkenaan selepas melancarkan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021 – 2025) di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini, semalam.
Kepada soalan sama ada PBB akan menyertai semula BN, Fadillah berkata, “Itu kena tanya Ketua Menteri (Sarawak).Tapi rasanya setakat ini tidaklah… rasanya kita akan kekal di bawah GPS tapi kita akan bekerjasama erat dengan semua pihak.”
Ditanya sama ada PRN Sarawak akan diadakan serentak dengan pilihan raya umum, beliau berkata, “Saya tidak tahu. Itu kena tanya PM (Perdana Menteri) dan CM (Ketua Menteri Sarawak). Saya tidak tahu. Ada pilihan raya ke?”
Ditanya kaitan konvensyen khas PBB dengan PRN Sarawak, Fadillah berkata, komvensyen berkenaan dirancang sudah lama, tetapi disebabkan penularan Covid-19 ia terpaksa ditangguhkan.
Menurut beliau, disebabkan Covid-19 juga konvensyen berkenaan digabungkan kepada empat zon yakni Zon Utara, Zon Sibu, Zon Betong dan Zon Kuching.