SARATOK: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian digesa memperkukuh dan melipatgandakan kesiapsiagaan jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Ketua PBB Cawangan Krian, Bell Bernard Aggan berkata, persediaan awal amat penting bagi memastikan seluruh jentera parti mampu bergerak secara tersusun, berstruktur dan berkesan apabila tiba masa pilihan raya.
Menurutnya, kekuatan sesebuah parti bergantung kepada keteguhan organisasi di peringkat akar umbi yang perlu sentiasa diperkasakan menerusi kerjasama erat, perpaduan dan komitmen berterusan setiap ahli.
“Jentera perlu sentiasa bersedia kerana PRN13 boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Kita tidak boleh menunggu sehingga saat akhir untuk mula bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Santai ‘Segulai Sejalai’ anjuran Pergerakan Wanita PBB Cawangan Krian di Rumah Panjang Richard Anchang, semalam.
Bell berkata, usaha memperkukuh jentera bukan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya, malah penting dalam memastikan hubungan baik antara parti dengan masyarakat terus dipelihara.
Katanya, fokus utama PBB ketika ini adalah meneruskan khidmat kepada rakyat serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan komuniti di kawasan Krian sentiasa mendapat perhatian.
Dalam pada itu, Bell turut menyuarakan harapan agar PBB diberi mandat untuk menampilkan calon mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Krian pada PRN13 akan datang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa soal calon merupakan hak mutlak dan keputusan strategik pucuk pimpinan tertinggi parti serta GPS.
“Kita akan menghormati apa sahaja keputusan pucuk pimpinan. Buat masa ini, yang paling penting ialah kita terus menguatkan kubu parti dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa seluruh ahli supaya terus merapatkan barisan, mengekalkan semangat kekitaan serta memperkukuh komitmen khidmat bakti kepada masyarakat.
PBB Cawangan Krian kini mempunyai kira-kira 5,000 ahli, sekali gus memperlihatkan kekuatan struktur organisasi parti di peringkat akar umbi.
Jumlah keahlian itu, katanya, merupakan aset penting yang perlu dipelihara dan diperkasakan bagi memastikan PBB terus kukuh, relevan serta dekat dengan hati rakyat
Oleh Adi Safarman





