KUCHING: Tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yang sengaja mengeksploitasi bahasa Cina boleh mencetuskan ketegangan dan dianggap bermotif menghasut.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman berkata ini kerana kerana sesuatu kaum akan pantas bangkit jika bahasa, budaya dan agama kaum itu digunakan sebagai ‘senjata’.
“Di bawah Akta Hasutan 1948, sesiapa yang dianggap cuba menghasut dengan membangkitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan suasana tegang, konflik dan menggugat keselamatan, boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
“Pemuda PBB percaya semua rakyat Sarawak yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama, sayang akan bahasa dan budaya masing-masing.
“Namun pada masa sama, semua kita harus menghormati perlembagaan dan bahasa kebangsaan dan bersikap realistik dalam perkara ini untuk terus mempertahankan keharmonian kaum yang kita nikmati selama ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata pihaknya kesal dengan tindakan DAP yang tidak menghormati undang-undang dengan melakukan vandalisme secara terang-terangan terhadap papan tanda jalan di sekitar Kuching.
“Malah mereka mendabik dada dengan perbuatan itu apabila menularkan sendiri perbuatan itu di media sosial.
” Tindakan meletakkan tulisan bahasa Mandarin atau tulisan Cina ke atas beberapa nama jalan di sekitar Kuching, tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan juga jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/1967, yang menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda nama jalan,” jelasnya.
Menurutnya, DAP ketandusan modal selepas mereka gagal menunaikan segala janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila diberi peluang memerintah negara.
“DAP jelas amat terdesak menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) sehingga sanggup mempolitikkan isu bahasa Cina hanya untuk kepentingan peribadi dan parti semata-mata.
“Budaya politik negatif sebegini sememangnya tidak diterima di Sarawak yang amat menghargai perpaduan.
“Justeru pihak berkuasa tempatan harus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat sebelum ia mencetuskan suasana kurang senang di kalangan masyarakat, sekaligus menguggat keharmonian kaum di negeri ini,” tegasnya.
Semalam tular di media sosial apabila DAP Sarawak meletakkan tulisan bahasa Mandarin atau tulisan Cina ke atas beberapa nama jalan di sekitar Kuching.
Oleh Zarina Abdullah