LIMBANG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat dipilih sebagai destinasi lawatan sambil belajar Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Bukit Kota bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran usahawan pertanian dalam bidang agropertanian.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, PPK Kuala Langat mempunyai pelbagai projek pertanian yang berjaya dan berpotensi dijadikan contoh, selain berpengalaman dalam pengeluaran serta pemasaran hasil pertanian.
Beliau berkata, PPK berkenaan turut mengaplikasikan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dalam projek tanaman.
“PBB DUN Bukit Kota mengadakan lawatan sambil belajar ke PPK Kuala Langat yang menjadi PPK contoh dalam agropertanian untuk mempelajari kaedah moden dan terkini dalam penanaman berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Rahman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, berkata rombongan turut melawat Ladang Ehsan Tani 2 di Kampung Sungai Kelambu, yang mempunyai keluasan 4.05 hektar dan merupakan antara projek baharu PPK Kuala Langat.
Katanya, kawasan itu memfokuskan pengusahaan tanaman cili dengan kapasiti sehingga 40,000 polibeg serta melibatkan 10 peserta yang terdiri daripada penduduk setempat.
“Lawatan diteruskan ke Ros Kerepek, sebuah perusahaan Industri Asas Tani yang beroperasi di Kanchong Darat dan menghasilkan pelbagai jenis kerepek serta makanan ringan.
“Perusahaan itu berpengalaman dalam aktiviti pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk, selain memperoleh pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan halal bagi menyokong pengembangan pasaran produk di peringkat tempatan,” katanya.
Beliau berkata, rombongan turut meninjau Projek Fertigasi Satelit Farm, Pulau Nyatoh Peladang Kuala Langat, yang merupakan antara projek korporat PPK Kuala Langat dengan kerjasama kerajaan di atas tanah seluas 4.9 hektar.
“Kawasan ini dimanfaatkan bagi pelaksanaan projek penanaman cili, penternakan lembu, penanaman rumput napier serta tanaman kelapa sawit,” katanya.
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Oleh Adeng Edrus





